LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kini menggunakan aplikasi TikTok untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuannya dalam sukan badminton selepas secara rasmi membuka akaun di platform itu.
Kehadiran Chong Wei menggunakan platform media sosial terkenal itu nampaknya membuatkan peminat-peminat teruja.
Pengurus Operasi Strategik TikTok, Darren Quek mendedahkan tanda pagar #badminton merekodkan 280,500 jumlah muat naik video dengan tontonan 5.7 bilion.
Ujarnya, tanda pagar #badmintonplayerattaining pula merekodkan jumlah muat naik video sebanyak 48,300 dengan jumlah tontonan sebanyak 1.1 bilion.
“Badminton adalah salah satu sukan yang paling popular di Malaysia dan TikTok dijangka digunakan pada kempen Badminton Terbuka Malaysia akan datang.
“Kami berharap orang ramai akan terus menggunakan aplikasi TikTok untuk berkongsi detik-detik ikonik membabitkan acara sukan seperti yang dapat dilihat ketika Piala Thomas dan Sukan SEA Ke-31 di Vietnam," katanya menerusi kenyataan media.
Menurut Darren, Chong Wei berjanji akan memberikan sokongan, berkongsi pengalaman buat semua atlet negara serta berinteraksi dengan pengguna-pengguna platform TikTok.
“Ramai pengguna menjadikan platform TikTok sebagai alternatif untuk mempelajari kemahiran baharu.
“Dengan adanya pengguna profesional, ia pasti dapat memupuk semangat kesukanan,” tambahnya.
Sementara itu, Chong Wei berkata dia teruja akhirnya menjadi sebahagian daripada komuniti TikTok dan gembira melihat rakyat Malaysia mengikuti sukan badminton.
“Saya tidak sabar untuk berkenalan dengan lebih ramai pengguna baharu dan menyampaikan pengetahuan saya mengenai sukan badminton melalui video pendek di TikTok,” jelasnya.
Chong Wei akan membuat kemunculan pertama di laman TikTok live bersama pemain legenda Indonesia, Taufik Hidayat pada Rabu, 22 Jun 2022 pukul 9 malam.
Mereka akan berkongsi pengalaman sewaktu bertarung antara satu sama lain, pandangan tentang semangat kesukanan dan berinteraksi bersama peminat.
Jangan lupa untuk saksikan #BadmintonLegendsLIVE menerusi aplikasi TikTok dan ikuti akaun rasmi Chong Wei. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram