PELAKON veteran, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar mengakui berada tidak sabar untuk menantikan tayangan filem lakonannya, Perjalanan Pertama yang bakal menemui penonton Indonesia pada 14 Julai depan.
Membawakan peranan sebagai pelakon utama, Tarmimi Siregar, 72, bersyukur kerana masih diberi kepercayaan dan peluang untuk muncul di layar perak setelah lebih lima dekad dalam industri.
Perasaan bercampur baur apabila mengetahui ada pihak luar yang 'menyedari' bakat lakonan beliau selepas muncul dalam filem Surau dan Silek pada 2017.
"Tentu sahaja saya gembira dan ada juga perasaan sedih. Bukan mahu angkat bakul, tetapi filem ini baik untuk naskhah keluarga dan diharapkan ia mendapat sambutan baik daripada penonton.
"Bukan senang untuk dapat watak utama pada umur sekarang. Jadi, saya berasa amat bersyukur dan mengharapkan agar akan ada lebih peluang lain pada masa akan datang. Industri hiburan Indonesia sangat luas, jadi apa salahnya kita menumpang sedikit," katanya kepada Majoriti.
Pelakon filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda itu bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pihak terutama pihak produksi tempatan yang seakan meminggirkan pelakon veteran dan sering memberikan watak sama sahaja.
Boleh dikatakan, kehadiran mereka hanya untuk mengisi kekosongan emosi dan keinsafan anak-anak lebih-lebih dalam naskhah terbitan perayaan Aidilfitiri dan Ramadan.
"Kita tidak boleh menuding jari kepada mana-mana pihak kerana saya fikir masing-masing mempunyai alasan tersendiri.
"Seperti saya, mungkin disebabkan kekurangan naskhah, watak bersesuaian atau mereka tidak melihat lakonan saya.
"Maklum sahaja, usia 'senja' begini berkemungkinan nilai komersialnya kurang berbanding wajah muda sekarang," tambah beliau.
Selain beliau, filem berkisarkan tentang hubungan kekeluargaan dan sarat dengan emosi itu diarahankan oleh Arief Malinmudo yang turut dibintangi oleh Randy Pangalila, Adinda Thomas, Muzzaki Ramdhan, Angelica Petra, Gilang Dirga dan Komo Ricky.
Perjalanan Pertama difahamkan akan menemui penonton Malaysia sekitar bulan Ogos depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram