
SEMUA yang pernah bergelar pelajar pasti akan berdebar bila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan.
Ada yang menganggap keputusan SPM sebagai penentu masa hadapan namun ada juga yang menganggap keputusan itu bukan penanda aras seseorang itu akan gagal dalam kehidupan.
Antara ibu bapa yang hadir bersama anak-anak untuk mengambil keputusan SPM adalah Datuk Nora Ariffin yang mengakui dirinya sendiri gementar untuk menunggu keputusan tersebut keluar.
Namun bagi Nora, bukan soal jumlah berapa A yang diperoleh anaknya, Putri Nor Dahlia, sebaliknya terharu memikirkan kehidupan anaknya di masa depan.
Nora turut berpesan kepada ibu bapa lain untuk sentiasa menyokong anak-anak dalam apa juga yang mereka ingin lakukan.
"Tak kisah berapa A, yang penting kita dah buat yg terbaik dan berniat untuk menjadi manusia yg berguna.
"Itulah pegangan papa arwah Johan selama ini. 'A' tak semestinya penentu kejayaan hidup seseorang," katanya.
Dalam pada itu, Nora turut memuat naik video berkongsi kata semangat kepada anaknya menerusi akaun Instagram miliknya.
Menurut Nora, walaupun tidak berjaya memperoleh 11A, keputusan itu bukan satu pengakhiran dan menganggap ianya sebagai satu permulaan.
"Kepada ibu bapa di luar, jangan negatif. Sentiasa sokong dalam apa sahaja yang mereka ingin lakukan selepas ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram