TMJ dilantik sebagai Pemangku Raja Johor


  • Primer
  • Khamis, 16 Jun 2022

Pengumuman pelantikan itu dibuat baginda selepas selesai bertitah merasmikan pembukaan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama Dun Johor ke-15. — Astro Awani

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar melantik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Raja Johor.

Baginda bertitah bahawa pelantikan Tunku Ismail sebagai Pemangku Raja akan berkuat kuasa mulai Khamis.

“Saya telah melantik Tunku Mahkota Johor sebagai Pemangku Raja Johor mulai hari ini. Saya ingin berehat sebentar. Terima kasih,” titah Sultan Ibrahim.

Pengumuman pelantikan itu dibuat baginda selepas selesai bertitah merasmikan pembukaan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama Dun Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail di Kota Iskandar di Iskandar Puteri, Johor pada Khamis.

Pada 9 Jun lalu, Tunku Ismail yang merupakan pemilik Johor Darul Takzim (JDT) mengejutkan arena bola sepak tempatan selepas mengumumkan bahawa beliau telah memutuskan untuk berundur daripada menguruskan kelab itu.

“Disebabkan tanggungjawab dan komitmen yang lain, saya memutuskan untuk berundur dan menyerahkan urusan harian kelab bola sepak JDT kepada pengurusan tertinggi kelab.

“Saya mendoakan yang terbaik untuk kelab dan semua,” katanya.

Keputusan itu jelas mengejutkan penyokong JDT tetapi dipercayai langkah itu ada kaitan dengan pentadbiran negeri Johor.

Tunku Ismail masih kekal sebagai pemilik tetapi menyerahkan pengurusan kelab kepada pengurusan tertinggi JDT.

Baginda adalah individu yang mengubah pasukan itu menjadi sebuah kelab gergasi dalam persada bola sepak tempatan.

Di bawah kendaliannya, JDT merangkul lapan kejuaraan Liga Super berturut-turut, dua Piala Malaysia dan satu Piala FA.

Mereka bukan sahaja juara di peringkat tempatan tetapi juga mencipta sejarah dengan memenangi Piala AFC pada 2015.

JDT mencipta sejarah baru-baru ini apabila menjadi pasukan pertama dari Malaysia layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL). — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram