
BERAKSI tanpa Amy, konsert Search Rockin' On Rooftop pada Sabtu tetap berbisa dan masih padu dengan penampilan vokalis baharu mereka, Denden Gonjalez dari Indonesia.
Sepanjang dua jam lebih konsert diadakan, tiada sebarang rungutan daripada lebih 3,000 peminat yang hadir dan rata-ratanya berpuas hati dengan gaya nyanyian Denden.
Malah, keserasian Denden bersama dua anggota asal Search iaitu Kid dan Din pada malam itu juga dilihat cukup mantap dan memberikan persembahan yang cukup padu.
Denden selaku vokalis Search bersama Kid (tengah) dan Din.
Tirai konsert yang diadakan di kawasan bumbung Kompleks Campbell, Kuala Lumpur kira-kira pukul 9.30 malam itu dibuka dengan lagu Bencana, Metropolitan dan Pasti.
Search kemudian terus menjamu selera peminat dengan lagu Purnama, Melastik Ke Bintang, Di Pintu Sepi, Bersalah Atau Tidak dan Rock N Roll Pie.
Turut dipersembahkan ialah lagu Diari Habil & Qabil, Teguh, Neo Romantik, Wasted Years dan lagu popular mereka, Fantasia Bulan Madu serta Mentari Merah Di Ufuk Timur.
Ratu Rock, Ella bersama Denden sewaktu menyanyikan lagu Bayangan.
Selain itu, Search turut menampilkan persembahan istimewa daripada Ratu Rock, Ella menerusi lagu Melayar Bahtera dan duet antara Ella bersama Denden dalam lagu Bayangan.
Turut hadir pada konsert tersebut untuk memberi sokongan ialah legenda muzik negara antaranya Datuk M Nasir, Datuk Hattan dan Datuk Ramli Sarip.
Semangat peminat buat semangat teruskan perjuangan
Melihat kepada kehadiran dan sokongan yang diberikan peminat, Kid yang ditemui usai tamat konsert memberitahu yang itu adalah semangat baharu mereka untuk teruskan perjuangan.
"Ramai yang hadir malam ini dan kami sangat berterima kasih. Walaupun sebelum konsert hujan turun, tapi mereka masih setia dan sanggup berhujan.
Lebih 3,000 peminat turun menyaksikan konsert Search.
"Ini adalah satu semangat buat kami untuk meneruskan perjuangan dalam Search," katanya.
Jelasnya lagi, aksi Denden juga harus diberi pujian kerana memberi yang terbaik walaupun mereka sempat bertemu dan berlatih dalam tempoh masa yang singkat.
Sementara itu, Denden mengakui agak gementar untuk beraksi pada malam konsert kerana memikirkan penerimaan daripada peminat kumpulan rock legenda itu.
"Semasa konsert peminat benar-benar terhibur dan aura mereka memberi semangat untuk saya terus memberi yang terbaik. Maklum balas peminat di Indonesia juga baik.
Din (kanan) dianggap tunjang utama Search kini.
"Terima kasih kerana terus menyokong Search dan saya akan ingat malam ini sampai bila-bila," katanya.
Untuk rekod, Search kini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu Search yang dianggotai Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Denden (penyanyi) dan Minn (dram).
Satu lagi ialah Search yang dibarisi Amy (penyanyi), Nasir (bass), Hillary Ang (gitar), Man Kidal (gitar) dan Joy (dram).
Malah, kedua-dua Search ini juga membuat konsert yang hanya selang seminggu iaitu Search (Amy) pada awal Jun lalu dan Search (Denden) pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram