MALAYSIA memilih jalan sukar untuk mara ke Piala Asia 2023 selepas tunduk 1-2 kepada Bahrain pada perlawanan kedua Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur, Sabtu.
Kekalahan itu sememangnya melahirkan rasa kecewa kepada penyokong namun keadaan padang SNBJ yang teruk lebih mengecewakan peminat bola sepak tanah air yang disajikan perlawanan di tengah 'bendang' itu.
Ia susulan gambar tular yang dikongsikan warga media sosial menunjukkan petugas stadium terpaksa menggunakan penyodok untuk mengeluarkan air hujan yang bertakung di atas padang susulan hujan lebat melanda sekitar Lembah Klang pada Sabtu.
Malah lebih teruk lagi apabila gambar tersebut turut dibanding dengan situasi petugas di sebuah stadium luar negara iaitu menunjukkan mereka menggunakan peralatan yang lebih sesuai daripada penyodok.
Gambar perkongsian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menghadiri perlawanan itu dibanjiri oleh komen-komen pengguna media sosial yang meluahkan rasa kecewa melihat keadaan padang dipenuhi air selain berselut.
"Buat sesuatu Datuk Seri. Malu keadaan padang macam itu. Lagi malu bila nak keluarkan air guna paip getah," kata penyokong, azwandengkil.
"Buka mata tu besar sikit Datuk tengok keadaan padang tuu macam mana. Malulah perlawanan peringkat antarabangsa yang penting main atas padang macam ini," ujar penggemar bola sepak, _AmirulRazi.
" Alhamdulilah...maknanya Datuk dah boleh nampaklah padang kita bagaimana depan mata...harap-harap terus rancang tambah baik..jangan tunggu laporan pula sedangkan dah nampak depan mata ye, " kata Taufiq Hanafi.
Isu itu sebenarnya pernah dibangkitkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan baginda turut memberi beberapa cara untuk mengatasi masalah keadaan padang selepas hujan.
Tangkap layar ciapan dari TMJ yang berkongsi bagaimana cara untuk atasi masalah itu.
Tips dari Tunku Ismail itu dikongsi sejurus perlawanan tamat menerusi akaun rasmi Twitter baginda dengan melampirkan beberapa gambar bagaimana Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor mengatasi masalah berkenaan.
"Kos untuk sistem saliran tidak lebih daripada RM300,000. Kalau alasan drainage system mahal sangat, boleh cuba cara ini. Murah sikit," kata baginda pada ciapan itu.
Cara tersebut melibatkan penggunaan lapisan untuk menutup permukaan padang ketika hujan lebat sekali gus mengelakkan air bertakung di padang seperti yang berlaku di Bukit Jalil.
Walaupun Stadium Bukit Jalil mempunyai sistem perparitan yang bagus untuk mengeluarkan air tetapi kualiti padang terutamanya keadaan rumput menjadi lembut sehingga menyebabkan padang tersebut rosak dan menghasilkan permukaan licin.
Keadaan padang sedemikian bukan sahaja menyebabkan corak permainan kedua-dua pasukan terjejas tetapi pergerakan pemain juga menjadi lambat dan mudah terjatuh apabila berlari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram