Dua pemandu buat laporan, polis buka siasatan kes langgar lari di JB


  • Tular
  • Ahad, 12 Jun 2022

Tangkap layar video tular memaparkan kejadian ketika Porsche melanggar orang awam.

BAHAGIAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan membuka kertas siasatan berhubung kes kemalangan jalanraya, melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 7.5, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Johor seperti yang tular di laman Facebook.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian pada kira-kira pukul 12.15 pagi Sabtu itu, seorang wanita berusia 26 tahun telah dilanggar lari dari belakang oleh seorang pemandu kereta.

Mangsa dilaporkan cedera ringan dan keretanya dilaporkan remuk di bahagian belakang, manakala kereta pemandu pula remuk di bahagian hadapan.

"Kedua-kedua pemandu dan mangsa telah tampil membuat laporan polis pada Ahad," katanya kepada Majoriti.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Orang ramai yang melihat kejadian kemalangan itu diminta tampil memberi maklumat di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Selatan atau boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Sarjan Norijan Sharkawi di talian 013-2623176.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan sebuah kereta berjenama Porsche bertindak melanggar lari kereta Perodua Axia mendapat kecaman daripada orang ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram