TIDAK akan menerima sebarang tawaran jika perlu memakai rambut palsu semata-mata kerana mahu menjaga imej bertudung.
Itu pendirian pelakon popular, Aishah Azman ketika ditanya berkenaan pemakaian rambut palsu di dalam drama mahupun filem untuk pelakon yang berhijab.
Menurut Aishah, dia sudah merujuk kepada beberapa orang ustaz untuk mengetahui tentang hukum wanita yang bertudung, namun memakai rambut palsu.
"Sebelum ini ada penerbit dan pengarah yang meminta saya pakai rambut palsu, namun saya menolaknya serta meminta mereka mencari pelakon lain kalau nak juga saya lakukan seperti yang diminta.
Aishah Azman sudah bertanya ustaz mengenai hukum memakai rambut palsu.
"Lagipun saya sudah merujuk kepada beberapa orang ustaz mengenainya dan tetap haram walau pakai wig (rambut palsu) kerana masih menyerupai wanita seperti tidak bertudung," katanya kepada Majoriti.
Baru-baru ini pelakon veteran, Normah Damanhuri tampil melakonkan wataknya dengan menggunakan rambut palsu disebabkan imejnya bertudung.
Menurut Normah, hanya setakat itu komitmen yang mampu diberikan terhadap produksi dan sedia menerima sebarang kritikan.
Dalam pada itu, ditanya mengenai status dirinya yang masih solo, Aishah mengakui dia kini lebih berhati-hati untuk mencari pasangan.
"Saya ada pengalaman sebelum ini tetapi tidaklah sampai fobia hingga nak menutup pintu hati. Masih terbuka tetapi saya lebih berhati-hati dalam memilih pasangan.
"Lagipun ada beberapa kriteria yang jadi keutamaan antaranya adalah hormat orang tua, keluarga dan diri saya selain mampu menyelesaikan masalah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram