Buat skrip spontan, antara cabaran tok dalang wayang kulit


Murshid (kanan) mempelajari wayang kulit dan alat tradisional daripada Mohd Jufry selama lebih sedekad. — SHEELA CHANDRAN/The Star

PELAJAR seni wayang kulit, Murshid Mohd Hussain bangga dengan warisan Melayu dan dia berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan budaya tradisional itu supaya tidak lapuk ditelan zaman.

Lelaki berusia 37 tahun dari Pulau Pinang itu mempelajari wayang kulit sejak 2005, selepas terpikat dengan warisan seni tradisional yang popular di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

“Ada sesuatu yang unik tentang wayang kulit. Saya amat menyukai cara kisah yang diceritakan menggabungkan humor dan drama.

"Penceritaannya sangat menarik, menggunakan instrumen tradisional untuk mencipta mood. Sungguh menarik bagaimana segala-galanya disatukan di tangan seorang tok dalang,” kata Murshid seperti dilaporkan The Star.

Dia mempelajari seni wayang kulit daripada gurunya, Mohd Jufry Yusoff, bekas penolong pensyarah dan artis budaya dari Jabatan Drama dan Teater Universiti Sains Malaysia (USM).

“Cabaran terbesar saya ialah mencipta cerita yang menarik minat penonton. Memandangkan skrip dibuat secara spontan, saya perlu memastikan cerita itu menarik dan menghiburkan.

Wayang kulit and its instruments are a reflection of the traditional Malay cultural diaspora, says Murshid — SHEELA CHANDRAN/The Star

Kata Murshid, wayang kulit dan instrumennya adalah cerminan diaspora budaya Melayu tradisional.

"Ia juga penting untuk memberikan sentuhan kontemporari kepada wayang kulit yang merupakan bentuk seni purba agar ia menarik minat penonton,” kongsi Murshid, yang mempunyai pengalaman lebih 17 tahun dalam wayang kulit.

Pegawai Kanan Kebudayaan di Pusat Kebudayaan Universiti Sains Malaysia itu sentiasa meminati seni, budaya dan tradisi Melayu.

Dibesarkan di Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang, dia diperkenalkan dengan persembahan kebudayaan seperti boria, tarian Mak Yong, silat, dan genre muzik lain sejak kecil.

“Ini membangkitkan minat saya terhadap seni dan budaya tradisional. Saya memilih untuk mengikuti pelajaran wayang kulit kerana ada sesuatu yang unik dalam seni ini,” katanya.

Graduan USM yang mengambil jurusan drama dan teater itu berkata, mungkin ramai tidak menyedari bahawa muzik dalam wayang kulit memainkan peranan penting dalam persembahan kerana ia membantu membangkitkan emosi penonton.

Susunan muzik dicipta untuk tujuan tertentu yang berkaitan dengan watak dan situasi berbeza selain berperanan bagi menzahirkan pelbagai emosi sama ada sedih, gembira, teruja, takut dan sebagainya.

Muzik juga membantu mencipta pembentukan dalam adegan dramatik atau bersahaja dalam adegan komedi.

"Muzik membantu menetapkan tempo dan nada untuk setiap persembahan," kata Murshid. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram