Bukan senang nak popular, Chef Wan kongsi kisah buat 'content' zaman tiada media sosial


CHEF Wan berkata, untuk berjaya, bakat sahaja tidak cukup malah perlu berusaha bersungguh-sungguh, bekerja keras serta ada integriti dan disiplin tinggi.

CHEF Wan pernah mencipta fenomena tersendiri suatu ketika dahulu. Setiap kali ada penampilannya dalam rancangan masakan, penonton khususnya golongan ibu-ibu sudah tertunggu-tunggu di depan televisyen.

Selain nak tengok Chef Wan 'bersilat' di dapur, penonton juga tidak mahu terlepas mendengar celoteh mulut becoknya yang kedengaran begitu bersahaja.

Itulah signatur Chef Wan. Dia bukan hanya tangkas memasak malah seorang penghibur. Dia tidak lahir dari dunia media sosial yang pada zaman ini telah mencetuskan perubahan dari segi penyediaan content.

Berbeza dengan content creator (pencipta kandungan) yang tumbuh bagai cendawan pada hari ini, Chef Wan mendedahkan bahawa perjalanan kariernya untuk sampai ke tahap sekarang mungkin tidak sama dengan cabaran yang dilalui sesetengah golongan tersebut.

"Saya tak nafi ramai yang mahu jadi cef selebriti, ambil resipi mak, buat video masakan dah muat naik ke media sosial masing-masing. Mereka menghimpun pengikut tersendiri dan meraih populariti serta menempa nama masing-masing hingga dikenali.

"Tapi dulu sebelum adanya media sosial, saya kena berusaha sendiri dan berkorban banyak perkara," katanya kepada Majoriti.

271744911_1794686367387380_3269333390337393703_n

Penggayaan makanan amat dititikberatkan Chef Wan dalam menghidangkan juadah masakannya. — Facebook

Mengimbau pembabitan awal kariernya, Chef Wan atau nama sebenarnya, Datuk Redzuawan Ismail berkata, untuk muncul dalam program televisyen, dia perlu menyiapkan kerja rumah dari menu yang ingin dimasak, penyediaan prop, pakaian hinggalah poin yang ingin disembang bersama penonton.

"Saya pernah balik buat rakaman program Radio Televisyen Malaysia (RTM) hingga pukul 3 ke 4 pagi.

"Macam-macam perlu dibuat ketika, kena set meja, baca skrip dan lain-lain lagi tapi saya berasa puas dan gembira kalau hasil (rakaman) itu menarik untuk ditonton," ceritanya.

Duta Kulinari Tourism Malaysia itu berkata, dia rajin membelek-belek majalah dan buku resipi antarabangsa untuk mendapatkan inspirasi cara membuat persembahan dan penggayaan makanan.

Ini kerana katanya, setiap juadah dari hidangan utama hingga pencuci mulut memerlukan kreativiti tersendiri supaya ia kelihatan cantik dan menarik dalam video.

"Kalau saya ke luar negara dan jumpa aksesori dapur atau pinggan mangkuk menarik, saya mesti beli sebab nak bawa masuk televisyen macam bekas telur berbentuk ayam yang pernah menjadi trend 'mak-mak kita' suatu ketika dahulu.

"Butiran macam ini penting supaya kamera dapat merakamkan prop yang telah disediakan. Jadi benda-benda seperti ini, saya kena fikir dulu tak macam sekarang yang nampak lebih mudah.

chef wan 3

Chef Wan mendedahkan bahawa perjalanan kariernya untuk sampai ke tahap sekarang mungkin tidak sama dengan cabaran yang dilalui golongan hari ini.

"Ini belum masuk kalau lokasi rakaman di destinasi menarik seperti di sawah padi, saya mesti all out (buat sehabis baik) dengan prop berkaitan. Ketika muncul dalam satu rancangan masakan, saya pernah ingat buat tarian ngajat, pakai bulu-bulu ayam dan guna buluh sebab nak sediakan juadah ayam pansuh yang terkenal di Sarawak.

"Saya dah buat dulu dengan cara saya, pada zaman itu dikira cukup hebat dan program-program masakan saya ditonton oleh pelbagai bangsa di hampir semua saluran televisyen," bicaranya lagi.

Menonton Chef Wan di kaca televisyen juga bukan sekadar melihat dia memasak, malah dia akan berkongsi tip, 'membawang' dengan audiens di rumah, berjenaka dan tidak lupa menceritakan asal usul sajian yang disediakan.

Dia juga tidak berkira dan sanggup membelanjakan duit sendiri bagi memastikan sesuatu program masakan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan jayanya.

"Saya tak kisah kerana bagi saya yang penting program itu dapat sambutan dan orang sekeliling dapat rasa masakan saya.

"Untuk sampai ke tahap ini, bakat sahaja tidak cukup kerana ia turut menguji ketabahan, kesungguhan dan integriti selain memerlukan kerja keras serta disiplin yang tinggi," katanya mengakhiri bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram