Ketulan Fibroadenoma, di mana ia sering dikesan dan cara merawatnya


  • Sihat
  • Jumaat, 20 Mei 2022

Ketulan fibroadenoma adalah tidak merbahaya, manakala rawatan akan berbeza bergantung kepada diagnosa. — Gambar hiasan

FIBROADENOMA adalah ketulan yang abnormal pada payu dara, yang terdiri daripada tisu berserat (fibrous) dan berkelenjar (adenomatous).

Ketulan tersebut kenyal dan terasa boleh bergerak di bawah kulit apabila diperiksa dan biasanya dirujuk sebagai ‘tetikus payudara’.

Pakar kesihatan, Dr Zubaidi Ahmad berkata, fibroadenoma juga merupakan tumor yang tidak berbahaya dan paling biasa dalam kalangan wanita di bawah umur 30 tahun.

Beliau berkata, fibroadenoma biasanya ditemui hanya satu ketulan.

"Namun, sebanyak 10 hingga 15 peratus wanita boleh mempunyai beberapa ketulan dan boleh melibatkan kedua-dua payudara," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

PUNCA FIBROADENOMA?

Punca sebenar fibroadenoma tidak diketahui. Fibroadenoma boleh dipengaruhi oleh hormon estrogen, kerana fibroadenoma paling kerap ditemui pada wanita di peringkat usia pre-menopausal, yang mengambil terapi hormon gantian (HRT), juga ibu mengandung.

Ketulan fibroadenoma boleh ada dan hilang semasa kitaran haid, apabila tahap hormon anda berubah.

Fibroadenoma biasanya ditemui dalam kalangan wanita muda yang berumur 15 hingga 30 tahun.

Kira-kira 10 peratus daripada semua fibroadenoma akan hilang dari masa ke semasa dan 20 peratus daripadanya akan berulang.

Jika ketulan fibroadenoma tidak hilang, ketulan tersebut biasanya berhenti membesar apabila saiznya mencecah dua atau tiga sentimeter.

Gejala

Adakah boleh dirasai sendiri ketulan fibroadenoma? Semasa melakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP), seseorang mungkin akan terasa ketulan ini.

Ketulan fibroadenoma terasa kenyal, licin, bulat dan boleh bergerak. Ketulan fibroadenoma tidak melekat pada tisu di sekeliling dan boleh bergerak apabila diperiksa dengan jari.

Ia mungkin terasa sakit, terutama sebelum waktu kedatangan haid, dan ketulan fibroadenaoma boleh membengkak akibat daripada perubahan hormon.

Saiz ketulan fibroadenoma adalah antara satu hingga lima sentimeter. Ketulan fibroadenoma gergasi boleh membesar sehingga menjadi saiz sebiji buah limau kecil, iaitu kira-kira 15 sentimeter.

Selepas pemeriksaan fizikal yang dilakukan dengan teliti, satu atau kedua-dua ujian berikut biasanya dilakukan untuk mendapat maklumat lanjut.

Ia adalah seperti Ultrasound payudara dan Mamogram untuk wanita yang mempunyai risiko kanser payudara. Biopsi ketulan fibroadenoma diperlukan untuk mendapat diagnosa yang tepat.

Biopsi aspirasi menggunakan jarum halus (‘fine needle aspiration biopsy’) sering dilakukan. Wanita di usia remaja atau awal 20-an mungkin tidak perlu biopsi jika ketulan fibroadenoma hilang dengan sendiri.

Komplikasi

Jika ketulan fibroadenoma dibiarkan tanpa pembedahan dan diperiksa secara berkala, ia mungkin perlu dikeluarkan di kemudian hari jika saiz ketulan semakin membesar atau tidak hilang. Fibroadenoma jarang bertukar menjadi kanser.

Rawatan

Ketulan fibroadenoma tidak berbahaya (benign), manakala rawatan akan berbeza bergantung kepada diagnosa.

Jika saiz ketulan adalah kecil, tidak menyakitkan, kekal saiz yang sama, dan biopsi menunjukkan tiada masalah, anda tidak memerlukan rawatan lanjut, tetapi mungkin mempunyai rawatan susulan bagi pemeriksaan ultrasound (biasanya saiz ketulan kurang daripada 1 sentimeter).

280949947_5216505215036178_2977189243983174359_n

Ketulan fibroadenaoma boleh membengkak akibat daripada perubahan hormon. — Facebook

Bagaimanapun, jika ketulan adalah besar (melebihi dua sentimeter), menyakitkan, semakin membesar, atau keputusan biopsi menunjukan sel-sel atipikal (sangat aktif), anda boleh merawatnya dengan membuang ketulan fibroadenoma melalui pembedahan atau dengan menjalani pembedahan lumpektomi.

Ia juga boleh dikeluarkan dengan mammotome bagaimanapun prosedur yang meninggalkan parut kecil dan cepat sembuh ini tidak terdapat di Malaysia.

Bagaimanapun prosedur ini berisiko pembuangan ketulan fibroadenoma yang tidak sempurna. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram