Hilang fokus di minit akhir, memang tiada rezeki menang - Al Hafiz 


  • Podium
  • Rabu, 11 Mei 2022

Al Hafiz (kiri) menganggap tiada rezek untuk menang walaupun sudah mendahului tiga kali.

SELEPAS tewas dua kali dalam Liga Super, penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) amat dahagakan kemenangan untuk pasukan kesayangan mereka.

Namun, perlawanan bertemu PJ City FC yang dijangka menang selepas mendahului tiga kali nampaknya masih mengecewakan selepas sekadar mencatat keputusan seri 3-3.

Bagi pemain sayap KDA FC, Al Hafiz Harun, punca kekalahan adalah disebabkan pemain hilang fokus terutamanya di minit akhir perlawanan.

"Kita bermain baik pada mulanya sehingga dapat mendahului PJ City dengan tiga gol. Tetapi di minit akhir perlawanan, pemain mula hilang fokus hingga gol mudah diberikan kepada pihak lawan.

"Memang moral agak sedikit jatuh sebab kita dah mendahului 3-1 pada awalnya. Tetapi saya anggap tiada rezeki untuk kami menang dan sekadar mencatatkan seri.

file7kxnx4oclo3vmo7g9q9

Pemain KDA FC cuba merampas bola daripada pemain PJ City FC. — Bernama

"Lagipun liga masih panjang, kita fokus pada perlawanan akan datang," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai persediaan untuk saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak lama lagi, jelas Al Hafiz, persediaan yang lebih teratur akan dilakukan.

"Buat masa sekarang kita fokus pada liga dahulu. AFC kita akan fikirkan bila dah dekat nanti," katanya.

Dalam pada itu, Al Hafiz turut menyatakan rasa terima kasih kepada semua yang masih menyokong skuad Helang Merah walaupun aksi tidak menentu dipamerkan kebelakangan ini.

"Saya tahu, ramai yang kecewa tapi Kedah adalah pasukan kita. Penyokong adalah tulang belakang kita dan kita akan buat sehabis baik untuk perlawanan seterusnya," katanya.

file7kxnw78at45e6sem9q8

Ronald Ngah menjaringkan tiga gol dalam perlawanan menentang PJ City FC. — Bernama

Menerusi perlawanan bersama PJ City FC pada Selasa, Ronald Ngah mencatat jaringan hatrik pada minit ke 20, 33 dan 65.

PJ City pula menjaringkan gol pada minit ke 29 menerusi Darren Lok sebelum membuat kebangkitan pada minit akhir perlawanan menerusi jaringan Mahali Jasuli (77) dan Khyril Muhymeen (83).

Berdasarkan keputusan semalam, KDA FC kini berada di tangga kedua di bawah Negeri Sembilan FC dan berkelebihan satu mata di atas Johor Darul Ta'zim (JDT). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram