Terlalu kurus sampai ayah syak saya ambil 'sesuatu' - Osama Yamani


  • Hiburan
  • Isnin, 25 Apr 2022

Keadaan fizikal Osama Yamani yang terkini (kiri) berbanding badannya yang berisi pada dua tahun lalu.

SATU ketika dahulu ketika Osama Yamani, 21, menyertai pertandingan realiti, ramai yang terkejut dengan fizikalnya yang boleh dikatakan agak 'sihat'.

Namun, dua tahun kemudian fizikal anak kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah ini mula mengecil sehingga menimbulkan persoalan kepada ayahnya sendiri.

"Saya memang amalkan diet, jaga pemakanan dan lakukan senaman. Tapi tempoh untuk kurus ini bukan sekejap, ambil masa dua tahun sebenarnya.

"Ramai yang pelik termasuk ayah saya sendiri bertanya adakah saya ambil 'sesuatu' sebab badan saya terlalu kurus. Dia pun pelik sebenarnya," katanya kepada Majoriti.

Osama berkata, tekad untuknya menurunkan berat badan adalah disebabkan faktor kesihatan dan atas nasihat ayahnya sendiri.

381904

Osama Yamani bersama ayahnya, Datuk Jamal Abdillah.

Jelasnya, Jamal pernah berpesan supaya dia mengurangkan berat badan kerana sebagai seorang penyanyi, keterampilan diri adalah sesuatu yang utama.

"Sebab itu saya mulakan diet. Lagipun bila badan dah kurus sedikit, ia juga akan membantu kerjaya dan stamina untuk menyanyi," katanya.

Menurut Osama, beratnya turun sebanyak 20 kilogram sepanjang tempoh dua tahun dan diet pemakanan itu masih diamalkan sehingga kini.

Walaupun ramai yang mengakui bulan Ramadan agak sukar untuk menurunkan berat badan disebabkan juadah berbuka yang terlalu banyak, Osama berkata, perkara itu tidak mengganggu dirinya.

"Sebenarnya saya amalkan pemakanan dengan mengurangkan gula dan jaga waktu pemakanan. Biasanya malam memang saya tidak makan.

"Tetapi bila bulan Ramadan, sebenarnya lagi membantu diet saya sebab waktu makan cuma sekali sahaja.

"Biasa kalau saya nak makan dalam pukul 10 malam ke atas pun saya hanya ambil makanan seperti bubur sahaja," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram