Setahun Mat Dan 'simpan' anak daripada jumpa ibu bapa


  • Hiburan
  • Ahad, 17 Apr 2022

Hampir dua tahun Mat Dan tidak pulang ke UK ekoran pandemik Covid-19.

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia sebenarnya membawa satu kisah sedih buat pengacara, Mat Dan atau nama Islamnya, Kareef Daniel Abdullah.

Menurut Mat Dan, disebabkan bayi keduanya lahir ketika dunia sedang berdepan dengan Covid-19, ibu bapanya yang tinggal di United Kingdom (UK) terpaksa menunggu setahun lebih untuk melihat cucu mereka.

"Kalau tanya saya apa yang paling terkesan bila melibatkan Covid-19 ini selain daripada kerjaya, saya rasa berkenaan dengan anak kedualah.

"Tetapi saya bersyukur kerana selepas setahun lebih, pada penghujung tahun lalu saya berkesempatan juga untuk membawa anak kedua saya bertemu dengan datuk dan neneknya," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-04-16 at 10.13.58 PM

Mat Dan bersama isteri dan anak-anaknya.

Tetapi menurut Mat Dan, di sebalik dugaan itu, dia bersyukur kerana dapat menikmati detik pertama melihat anak keduanya itu berjalan di hadapan ibu dan bapanya.

"Masa balik itu anak memang tak boleh jalan lagi. Tetapi bila dah sampai di UK, dia pertama kali dapat membuat langkahan pertama dan itu saya anggap sebagai kenangan buat datuk dan neneknya," katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada Mat Dan akan pulang dan menetap di UK, perkara itu katanya mungkin tidak akan berlaku.

Malah, Mat Dan berkata yang ibu bapanya juga lebih selesa dia berada di sini berbanding hidup di UK.

"Sebab saya dekat sini sejak umur 2019 dan jika saya kembali ke UK, saya ibarat terpaksa membina semula kehidupan daripada umur 2019.

"Lagipun di sini saya sudah ada banyak pengalaman dan kalau di UK, saya hanyalah seorang 'mat salleh' yang pandai bercakap Terengganu. Mereka tidak berminat pun," katanya.

Tambah Mat Dan, disebabkan itu dia lebih selesa untuk menetap di Malaysia apatah lagi keputusannya itu direstui ibu dan bapanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram