
DIGELAR lesbian oleh segelintir individu, Enot mengakui yang dirinya sudah lali dengan tuduhan tersebut apatah lagi dia sendiri sering dikelilingi rakan-rakan wanita yang berpakaian lelaki.
Menurut Enot atau nama sebenarnya, Aliza Abdullah, sejak di bangku sekolah lagi memang dia mempunyai ramai kawan sedemikian terutamanya ketika bersekolah di Sekolah Menengah Convent Seremban.
"Memang ramai yang ingat saya lesbian, tetapi ramai yang tak tahu dahulu saya bersekolah di Sekolah Menengah Convent Seremban. Jadi, kebanyakan rakan sekolah saya ramai berperwatakan seperti lelaki.
"Dahulu di sekolah pun saya memang aktif bermain sukan softball, malah rakan-rakan juga memanggil saya dengan panggilan ‘Abang Ali’. Setakat panggil ‘sayang’ sesama rakan wanita pun ia benda normal," katanya kepada Majoriti.
Ditanya mengenai perihal rumah tangga pula, Enot mengakui yang dia masih tidak terfikir ke arah itu disebabkan kegagalannya dalam berumah tangga sebanyak dua kali.
Jelasnya, walaupun sudah 13 tahun bergelar janda, Enot mengakui yang dia selesa untuk melayari kehidupannya sekarang bersama anak dan cucu.
"Dahulu masa umur saya belum cecah 40 tahun, ada juga rasa nak cari pengganti. Cuma lepas dah dapat seorang cucu pada tahun lalu, keinginan nak berumah tangga tu dah tak ada sampai orang cop saya lesbian.
“Anak-anak pun seperti keberatan untuk saya berumah tangga semula. Sampaikan bila saya usik kata ada orang nak masuk meminang, anak-anak suruh fikir baik-baik dulu,” jelasnya.
Menerusi perkahwinan yang pertama dahulu, Enot telah dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Andriana Balqis dan Ariana Qaseh Qistina. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram