
BARU-BARU ini muncul satu artikel yang mendakwa penyanyi, Alyah membuat pendedahan bahawa dia tidak pernah menyukai setiap inci yang ada pada suaminya, Datuk Ramli MS.
Artikel itu dibuat menerusi satu video yang tular di media sosial dan menurut Alyah, klip video itu sebenarnya sudah dimuat naik tiga tahun yang lepas sebelum ditularkan kembali baru-baru ini.
Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan berkata, disebabkan video itu juga, ramai yang mula menghubunginya dan bertanya mengenai keadaan diri dan rumah tangganya kini.
"Memang ramai sangat yang hubungi saya. Video itu dah lama. Cuma tak tahu kenapa ada yang tularkan kembali sekarang sedangkan saya dan suami tiada sebarang masalah pun.
Aliyah bersama suaminya, Ramli MS.
"Apa yang berlaku telah menimbulkan salah faham. Tak mengapalah, saya maafkan cuma saya kena menjawablah dengan ramai orang.
"Apatah lagi lepas ini kita nak balik raya, mesti ada yang bertanya. Sya anggap apa yang berlaku ini satu dugaan," katanya kepada Majoriti.
Menurut Alyah, pendedahan yang dibuat dalam video itu adalah perkara lama dan ketika itu dia masih belum matang sepenuhnya dalam melayari kehidupan berumah tangga.
Malah, Alyah mengakui ada konflik yang berlaku ketika sesi video itu dirakam dan dia tercakap perkara yang tidak sepatutnya.
"Dahulu memang saya nak semua orang tahu yang saya ada masalah. Tetapi semakin lama kita berumah tangga, saya dapat rasakan bahawa apa yang berlaku sebelum ini adalah untuk menjadikan kita seorang insan yang baik.
"Masa kami balik umrah yang banyak merubah saya dan cara menguruskan rumah tangga," katanya yang mengerjakan umrah pada 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram