
SESIAPA yang pernah mendengar lagu Jangan Marah (Baby Sayang) pasti tidak menyangka yang kumpulan itu sebenarnya pernah dituduh sebagai perosak industri muzik.
Malah, kumpulan Unknown yang dianggotai oleh Momo, Mary Haf, Izmeer, Ameer dan Zaq ini juga mengakui yang mereka berkecil hati terhadap tohmahan yang dilemparkan.
"Kami akui memang terasa, siapa tak terasa kan bila dikritik sebegitu? Kami dah berusaha dan keluarkan lagu-lagu yang terbaik, tetapi orang beri kritikan yang menjatuhkan, ia ibarat usaha kami sia-sia.
"Mengenai BTS, kami tak tiru langsung pun. Kami mempunyai identiti sendiri. Semua kritikan netizen tidak kami jawab, kami hanya membiarkan sahaja," kata Momo.
Unknown kini tampil dengan single terbaharu berjudul Tersakiti.
Dalam pada itu, Unknown turut mengakui lagu Jangan Marah (Baby Sayang) lebih dikenali berbanding diri mereka dan menganggap itu sebagai satu pembakar semangat buat mereka.
Menurut Haf, disebabkan itu juga mereka bangga apabila lagu Tersakiti mendapat respons yang baik daripada peminat sekali gus mendorong mereka untuk mencuba yang terbaik supaya terus kekal dalam industri.
"Kami juga menghadiri pelbagai kelas seperti kelas tarian, vokal dan belajar cara bagaimana untuk berkomunikasi dengan orang ramai untuk memantapkan lagi kumpulan kami," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram