Masih ramai ibu bapa degil, bawa anak tanpa pelitup muka ke bazar Ramadan


  • Primer
  • Rabu, 06 Apr 2022

ANTARA ibu bapa yang hadir ke bazar Ramadan dengan membawa anak kecil tanpa memakai pelitup muka. — Bernama

KERAJAAN Terengganu kesal dengan tindakan sesetengah ibu bapa yang sanggup merisikokan kesihatan anak mereka dengan membawa bayi dan kanak-kanak ke bazar Ramadan tanpa memakai pelitup muka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, lebih-lebih lagi Terengganu masih berada pada kedudukan kedua terendah dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Setakat Selasa, kadar vaksinasi PICKids di Terengganu hanya 12.6 peratus daripada 178,700 populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

"Saya nasihatkan ibu bapa kalau sayangkan anak-anak, tinggalkanlah sebentar di rumah atau dalam kereta, bergilir sahaja suami isteri untuk pergi sebentar membeli juadah berbuka puasa.

"Kita tidak tahu di bazar ini pun mungkin ada individu yang positif Covid-19 namun tidak bergejala. Kita tidak mahu jika dijangkiti, kesihatan mereka akan teruk kerana belum mendapat perlindungan (vaksin)," katanya.

Menurutnya pada tahun ini, terdapat 59 lokasi bazar Ramadan di seluruh Terengganu melibatkan 4,938 gerai makanan dan 9,666 pengendali makanan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar menjaga kebersihan terutama yang berbuka puasa di kawasan lapang dan kawasan tumpuan pelancong. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram