PENYANYI baharu, Syahmi Irfan, 21, tidak menjangka followers akaun Instagram miliknya meningkat mendadak gara-gara aksinya bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza di gelanggang badminton.
Mengimbas kembali pengalaman itu, menurut Syahmi, dia tidak sangka akan diberi peluang untuk bermain badminton dengan bekas jaguh dunia, Tan Boon Heong dan Siti atau lebih mesra disapa dengan nama Tok Ti.
"Sebenarnya saya memang sangat teruja ketika itu kerana dapat beraksi bersama dengan Tok Ti dan Boon Heong.
"Tapi tak sangka pula tempiasnya selepas main badminton itu saya mendapat jumlah followers yang sangat ramai di akaun media sosial," katanya kepada Majoriti.
Menurut Syahmi, peminat Tok Ti juga banyak yang memberinya semangat kepadanya, apatah lagi dia sendiri masih hijau dalam industri nyanyian.
Dalam pada itu, Syahmi yang sebelum ini pernah beraksi bersama skuad badminton negara berkata, dia seronok bergandingan dengan Siti sepanjang perlawanan.
"Tok Ti adalah penyanyi yang saya idolakan sejak dulu lagi dan sebenarnya saya banyak nak tanya soalan kepada dia tetapi waktu itu ramai peminat yang hadir dan peluang itu terbatas sedikit.
"Sebenarnya ini bukan kali pertama saya bertemu dengan Tok Ti sebab sebelum ini dia pernah menjadi juri dalam satu pertandingan yang saya ikut serta dan dia juga masih mengingati saya," katanya.
Mengulas mengenai kerjaya seni pula, Syahmi berkata, dia akan tampil dengan single terbaharu berjudul Lagi-Lagi Sayang namun masih belum ada tarikh untuk memperdengarkannya kepada peminat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram