Pacu jadi pertaruhan Juki si rapper berhijab


  • Hiburan
  • Isnin, 14 Mac 2022

JUKI sebelum ini pernah membuat persembahan bersama Dolla dan mendapat perhatian yang sangat baik oleh khalayak.

SEBUT sahaja nama penyanyi rap wanita yang bertudung, pasti akan terpacul nama Bunga.

Kini, seorang lagi penyanyi bertudung tampil dengan genre muzik hip hop iaitu Juki yang sebelum ini pernah berkongsi pentas dengan nama besar seperti Yonnyboii, Kmy Kmo, Luca Sickta dan Benzooloo.

Malah, Juki juga pernah membuat kemunculan bersama Dolla pada Februari lalu dan mendapat perhatian yang sangat baik.

Kini, selepas sekian lama, akhirnya Juki tampil dengan karya sulungnya berjudul Pacu.

Mengulas mengenai Pacu, Juki mengakui karya pertamanya itu mempunyai bayangannya sendiri.

"Saya berikan segala-galanya untuk Pacu. Saya harap semua akan memahami pesanan yang cuba saya luahkan dalam lagu ini. Saya mahu semua orang sedar bahawa jika mereka jatuh mereka hanya perlu bangkit semula," katanya.

Menurut Juki, Pacu telah menjalani proses rakaman pada tahun lalu dan mengambil masa selama sehari untuk diselesaikan.

"Kami mengambil masa sehari untuk menguruskan semuanya, termasuk pemilihan lirik dan cubaan untuk memasukkan irama berkaitan dan melihat hasilnya.

"Rakaman dilakukan pada hari kedua kerana saya mempunyai sedikit kesukaran untuk menulis korus dan pre-hook lagu ketika itu.

"Setelah siap dengan verse, Amir telah menyiapkan bahagian yang tinggal untuk Pacu. Akhirnya, semuanya berbaloi," tambahnya lagi.

Justeru, Juki berharap karya sulungnya ini akan dihargai oleh semua yang mendengarnya.

"Banyak usaha di balik projek ini dan saya harap motivasi serta cinta yang saya kongsikan akan dapat dirasai oleh semua yang mendengarnya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

hiburan, juki, bunga, rapper, hijab, wanita, pacu