PROGRAM Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung pada 24 hingga 27 Februari 2022 di Kuching Waterfront, Kuching, Sarawak secara fizikal dilihat merisaukan orang ramai ekoran kadar jangkitan kes Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini.
Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen turut menggesa orang ramai yang berkunjung ke program itu supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi mengelak acara itu bertukar menjadi 'Festival Omicron'.
TANGKAP layar bebenang Twitter Kelvin Yii
Beliau bimbang bahawa acara empat hari itu boleh menimbulkan ancaman dan mengundang risiko kesihatan terutamanya kepada kumpulan berisiko tinggi dan terdedah ancaman.
“Kebimbangan terbesar saya mengenai Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 bukan hanya tentang ketidakpatuhan SOP tetapi bagaimana terdapat kanak-kanak kecil, yang berkemungkinan besar tidak divaksinasi, hadir pada acara itu sendiri.
"Malah, terdapat gambar kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak memakai topeng pelitup muka dalam khalayak ramai," katanya menerusi bebenangnya di Twitter pada Jumaat.
Menurutnya, orang ramai tidak patut mengambil mudah Covid-19 dan Omicron terutamanya kesan virus itu kepada kanak-kanak yang akan menyebabkan komplikasi serius terutamanya Sindrom Inflamasi Multisistem dalam Kanak-kanak (MIS-C).
MIS-C ialah keadaan apabila radangan tisu dan organ berbeza, termasuk jantung, paru-paru, buah pinggang, otak, kulit, mata dan organ gastrousus dan merupakan bentuk paling teruk Covid-19 pada kanak-kanak serta boleh membawa maut.
"Pesakit di bawah 12 tahun yang dimasukkan ke hospital telah melihat trend menaik terutamanya Omicron, dengan kematian turut dilaporkan.
"Sekurang-kurangnya yang perlu dilakukan penganjur ialah melarang kanak-kanak atau mana-mana kumpulan yang terdedah menghadiri acara sebegitu.
"Walaupun saya memahami keperluan untuk beralih kepada fasa endemik, tetapi kita belum berada di sana, jadi kita tidak boleh bersikap melulu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram