SPRM serah semula dokumen, tiada siasatan lanjut salah guna kutipan royalti — PPM


  • Hiburan
  • Isnin, 28 Feb 2022

PPM percaya siasatan sudah selesai dengan pemulangan semula dokumen tersebut.

PUBLIC Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulangkan semula segala dokumen yang diminta sebagai sebahagian siasatan penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu yang diterima oleh penggiat industri muzik di Malaysia.

Pengerusinya, Rosmin Hashim berkata, pemulangan semula dokumen itu dilakukan SPRM pada 17 Disember dan tiada sebarang tindakan lanjut diperlukan.

"Sebagai Badan Pelesenan yang profesional, telus dan bertanggungjawab, PPM akan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam apa jua perkara yang memerlukan perhatian mereka.

"Kami akan terus mematuhi semua undang-undang berkaitan operasi Badan Pelesenan. Kami juga akan terus mewakili kepentingan ahli kami dan industri muzik dengan integriti tertinggi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Untitled

Pengerusi PPM, Rosmin Hashim.

Menurut Rosmin, PPM ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada SPRM kerana sudah menjalankan tugas dengan penuh integriti dan profesional.

Jelasnya, lembaga pengarah PPM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai SPRM yang terbabit kerana berhemah dan profesional semasa menjalankan siasatan.

"Dengan pengembalian dokumen berkaitan, kami percaya isu ini berakhir dan kami boleh bergerak ke hadapan untuk terus mewakili kepentingan ahli kami secara terbaik" katanya.

Sebelum ini, Rosmin mendedahkan yang SPRM telah melakukan siasatan terhadap PPM walaupun tiada sebarang aduran dibuat terhadap ahlinya.

Menerusi siasatan itu, SPRM telah meminta beberapa dokumen untuk siasatan serta pelbagai kenyataan lisan dirakamkan oleh pegawai SPRM.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez dilaporkan meminta campur tangan SPRM dalam pertikaian mengenai royalti RM30 juta yang belum dibayar kepada artis rakaman.

Beliau kecewa dengan kemungkinan beberapa 'tangan tersembunyi' memanipulasi kutipan royalti untuk keuntungan mereka sendiri.

Pada Januari 2020, SPRM menyerbu empat pejabat badan pengurusan royalti artis bagi memulakan siasatan berhubung isu dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu.

Antara pejabat itu ialah Recording Performers Malaysia (RPM), Public Performance Malaysia (PPM), Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram