BEKAS Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh melakukan sujud syukur sebaik sahaja Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin mengekalkan keputusan melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM150,000, empat tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 April tahun lepas, yang melepas dan membebaskan Sabudin daripada pertuduhan itu.
Dalam penghakimannya, Azhar berkata, mahkamah telah meneliti segala keseluruhan rekod rayuan, alasan penghakiman, hujahan bertulis dan lisan pihak perayu dan responden.
"Saya mendapati bahawa mahkamah ini tiada alasan untuk mengubah atau mencampuri keputusan yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen. Oleh itu, rayuan perayu (pendakwaan) ditolak," kata Azhar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala peguam K.Theivaendran mewakili Sabudin,60, selaku responden.
Sementara itu, Wan Shaharuddin ketika ditemui media berkata, pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada Isnin.
Pada 13 April 2021, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Sabudin daripada pertuduhan rasuah di akhir kes pendakwaan.
Seramai 10 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.
Sabudin, bekas Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, didakwa menerima RM150,000 daripada pengarah sebuah syarikat sebagai dorongan untuk memperaku sijil bayaran kemajuan tuntutan yang dikemukakan oleh beberapa syarikat.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana, di ibu negara, antara 13 dan 19 Ogos 2018.
Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram