KEMBALI bersuara di media sosial, selebriti, Zul Yahya sekali lagi mengecam tindakan kerajaan berhubung kebenaran yang hanya diberikan kepada individu yang mengambil dos penggalak untuk solat jemaah di masjid.
Menurutnya ketetapan sedemikian tidak melambangkan ajaran Islam yang sebenar dan ia merupakan satu penghinaan kerana menghalang umat Islam melakukan ibadah.
"Sudah melampau, kerajaan jadikan rumah-rumah ALLAH hak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jadikan amalan umat Islam ikut syarat KKM.
"Di dunia kita nak dapat kejayaan sebab itulah kita mahu ajak manusia berduyun-duyun penuhi masjid tanpa syarat," katanya menerusi rakaman 'live' di Facebook pada Khamis.
Dia juga memohon ulama dalam negara supaya bersuara perkara ini kepada Majlis Raja-Raja supaya umat Islam dalam menjalankan ibadah di masjid tanpa halangan.
Jelasnya lagi, dia sedih dengan keadaan semasa yang mana umat Islam semakin jauh dari rumah ALLAH, agama dan kejayaan.
"Kenapa nak halang umat Islam daripada mendapat kejayaan dan rahmat dari ALLAH, itu semua datang daripadanya dan bukan dari kerajaan.
"Umat menderita hari ini tetapi tiada satu agamawan yang bersuara tentang perkara ini dan masing-masing menyembah keduniaan, bertelagah tentang ilmu masing-masing, itu yang berlaku hari ini," ujarnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram