TAMPIL dengan lagu baharu berjudul Hingga Akhir Waktu, penyanyi Raja Syahiran mendedahkan bahawa lagu berkenaan bukan berkisar tentang kisah cintanya bersama Uyaina Arshad tetapi ia adalah hadiah buat ibu kepada isterinya itu.
Menurut jejaka berusia 29 tahun itu, lagu tersebut asalnya dihasilkan lima tahun lalu bersama rakannya yang juga merupakan penulis lirik lagu tersebut, Iky Asyraf.
"Awalnya lagu ini terhasil kerana saya dan Iky sedang patah hati dan ia sudah lama siap tetapi saya terasa ada sesuatu yang masih kurang.
"Sehingga saya bertemu Uyaina dan terinspirasi dengan kisah keluarganya, malah dia juga yang melengkapkan 'sesuatu yang hilang' dalam lagu dengan puisi yang dikarangnya sendiri," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, elemen puisi dalam lagu merupakan keunikan lagu ini memandangkan elemen sedemikian sudah jarang dimasukkan dalam karya masa kini.
Jelas Raja Syahiran lagi, Hingga Akhir Waktu merupakan sebuah lagu yang berunsur kekeluargaan dan berkisar tentang kebahagiaan seorang ibu tunggal selepas berjuang membesarkan empat orang anak yang kini sudah berjaya.
Katanya lagi, lagu ini juga menerapkan unsur-unsur alam seperti bunyi air yang dihasilkan secara beatbox oleh Raja Syahiran.
"Lagu ini istimewa kerana ia mempunyai sentuhan jiwa daripada seorang anak yang sangat menghargai perjuangan ibunya. Walaupun lagu ini asalnya merupakan sebuah lagu sedih, saya merasakan perasaan lagu ini perlu diubah kerana kesedihan itu tidak seharusnya dipanjangkan.
"Saya masih menerapkan unsur beatbox dengan penghasilan unsur alam yang mana merupakan simbolik kepada nilai ketenangan yang menjadi salah satu elemen dalam lagu ini," ujarnya.
Lagu Hingga Akhir Waktu turut ditampilkan dengan muzik video yang ditayangkan secara eksklusf semasa perkahwinan mereka Disember lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram