Bukan susah nak cari penyanyi berbakat — Black


  • Hiburan
  • Ahad, 20 Feb 2022

BLACK menganggap ramai individu berbakat di luar yang tiada platform untuk menyinar.

DAHULU ramai penyanyi yang berbakat dilahirkan menerusi pertandingan yang disiarkan di televisyen antaranya ialah Bintang RTM.

Kini cara yang sama masih digunakan iaitu mengilap bakat baharu menerusi pertandingan tetapi kenapa banyak yang tidak berbakat menjadi tumpuan?

Timbul persoalan sebenarnya adakah negara ketandusan penyanyi yang berbakat? Tetapi kalau dilihat di jalanan, ramai sebenarnya yang berkebolehan menyanyi dengan baik dan merdu.

Bagi penyanyi, Black Hanifah, 35, sebenarnya mencari bakat baharu bukanlah satu perkara yang sukar memandangkan masih ramai di luar mencari tempat untuk menyinar.

Jelasnya, mereka yang benar-benar berbakat inilah yang harus dibantu untuk memberikan ruang dan platform bagi mengembangkan potensi diri agar dapat menaikkan mutu industri seni tanah air.

“Nak mencari penyanyi bukanlah satu kerja yang sukar. Kita ada banyak bakat baharu yang terdiri daripada buskers hebat yang ada tepi jalan dan sebagainya.

“Kalau betul nak mencari bakat dan konten yang baik, ambil sahaja mereka. Rasanya itu lebih baik dan akan mendapat reaksi positif daripada semua. Kalau nak cari konten, pilihlah yang bermaruah,” katanya.

Dalam pada itu, Black juga baru sahaja melancarkan lagunya yang berjudul Hanya Aku Yang Mencari yang agak berbeza berbanding lagu-lagunya sebelum ini.

Menariknya, sejak melancarkan lagu tersebut minggu lalu, maklum balas yang diterima cukup positif daripada peminat yang sudah lama menunggu buah tangan terbarunya itu.

“Nak jadi penyanyi kena relevan dengan industri. Saya sendiri perlu mengikut trend dan terus menjaga kualiti untuk diterima baik oleh pendengar.

“Kali ini, saya gembira kerana masih dapat bekerjasama dengan Ajai untuk lagu ini. Dia tahu mana kekurangan dan kelebihan saya dan itu memudahkan lagi proses rakaman lagu ini,” kata Black.

Paling diingati apabila dia perlu melakukan proses rakaman semula memandangkan ada beberapa bahagian lagu yang dilihat tidak kena dengan suaranya.

“Abang Ajai memang ambil berat dalam proses rakaman. Walaupun lagu tersebut sudah siap, apabila ada bahagian yang tak menepati halwa telinganya, kena rakam semula.

“Saya tak kisah kalau perlu melalui proses rakaman semula. Asalkan hasil akhir akan menjadi lebih baik, saya okay,” katanya yang menggunakan lokasi Kuala Selangor sebagai lokasi utama MV tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram