Muda dan PKR tidak faham konsep kongsi kuasa BN


  • Politik
  • Sabtu, 19 Feb 2022

BN sangat jelas dengan konsep perkongsian kuasa berbanding segelintir parti-parti politik lain yang bertelagah ketika berunding mengenai pembahagian kerusi, kata Khaled. — Bernama

BARISAN Nasional (BN) sangat jelas dengan konsep perkongsian kuasa berbanding segelintir parti-parti politik lain yang bertelagah ketika berunding mengenai pembahagian kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mengambil contoh PKR dan Muda, beliau mendakwa disebabkan keduanya tidak memahami formula perkongsian kuasa yang diamalkan BN, ia telah menyebabkan rundingan mereka berhubung pembahagian kerusi untuk PRN Johor gagal mencapai sepakat.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang berkata, BN bukanlah satu gabungan yang baharu tetapi sudah lama dan berpengalaman malah kewibawaannya sudah terbukti sebelum ini dan berharap semua pengundi dapat menerima agenda dibawa iaitu mewujudkan kestabilan.

"Kestabilan itu hanya boleh dicapai melalui BN kerana daripada segi pendekatan BN, kita menekankan kepada soal integrasi bukan asimilasi dan kita juga berasaskan hubungan yang lama dan nilai-nilai yang kita pegang secara bersama,” kata bekas Menteri Besar Johor itu kepada pemberita di Johor Bahru, pada Jumaat.

Terdahulu, beliau menerima borang kemasukan kira-kira 50 bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan Tasek 64 di Bilik Gerakan Jalan Tasek 21, Bandar Seri Alam di Johor Bahru.

Pada Jumaat, Muda berkata, tindakan PKR mengumumkan 20 calon mereka yang akan bertanding pada PRN Johor telah menjejaskan, sekali gus menamatkan rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram