Farahdhiya tak sanggup bodohkan diri sendiri demi gimik


  • Hiburan
  • Rabu, 16 Feb 2022

SAMBUTAN pada lagu dinilai pada produk dan bukan gimik, tegas Farahdhiya.

PERMAINAN gimik dalam industri seni sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu dan sudah dilakukan beberapa orang penyanyi tempatan sebelum ini.

Malah, ada yang sanggup menipu peminat kononnya bercinta dan menganggap perkara itu sebagai gimik sebelum melancarkan single terbaharu. Rupanya, percintaan itu hanyalah dalam video klip semata-mata.

Bagi penyanyi, Farahdhiya atau nama sebenarnya Nur Farahdhiya Mohd Amin, tindakan melakukan gimik sebagai langkah untuk mempromosikan lagu terbaharu adalah sesuatu yang keterlaluan seperti yang dilakukan segelintir penyanyi.

"Kalau nak keluar lagu kita buat cara biasa sahaja. Pada saya, jika itu lagi yang bagus, penyanyinya bagus dan produknya juga berkualiti, keluar dengan cara yang biasa pun tiada masalah.

"Kadang-kadang kita tengok sendiri orang buat gimik sampai ada yang memalukan diri dan nampak bodoh sehingga dikecam. Saya tidak sanggup semata-mata nak buat gimik sebegitu dan saya tidak perlukan itu.

"Saya seorang yang simple dan straight forward. Bila nak keluarkan lagu, kita keluarkan sahaja," katanya yang kini tampil dengan single terbaharu berjudul Tewas.

Bercerita mengenai single terbaharunya, jelas Faradhiya, dia membawakan genre yang sangat berbeza dengan sebelum ini iaitu Electronic Dance Music.

"Memang orang kenal saya dengan lagu-lagu balada tetapi saya juga perlu mengikut peredaran zaman kerana lagu bergenre EDM ini sekarang menjadi tumpuan pendengar.

"Pertama kali dapat lagu ini saya terus setuju sebab saya sukakan melodinya yang ‘catchy’. Pada saya lagu sebegini cita rasa orang sekarang. Ini memang satu jenama baharu daripada saya dan saya sangat teruja. Ditambah pula lagu ini menggunakan tiga bahasa. Saya fikir ini peluang untuk menjayakan lagu ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Farahdhiya berkongsi jadual kerjaya seninya padat selepas aktiviti seni kembali dibenarkan beroperasi selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sejak dibenarkan bekerja semula pada Oktober tahun lalu, Alhamdulillah, jadual saya sangat padat sampai sekarang. Nyanyian dan lakonan seiring. Saya sibuk menjayakan persembahan korporat dan makan malam. Tawaran berlakon pun tak berhenti.

“Memang agak sibuk sebenarnya sejak mula dibenarkan bekerja semula dan fokus sekarang dengan lagu terbaharu ini. Ada juga beberapa drama yang akan keluar seperti Roti Cicah Susu yang akan ditayangkan di saluran Astro Ria tak lama lagi. Ada juga drama dengan penstriman Viu. Kerjaya saya berjalan dengan lancar Alhamdulillah,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram