PENGERUSI Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad percaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan dilaksanakan pada 12 Mac nanti akan memberi kesan yang amat besar kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Surat terbuka bekas Perdana Menteri untuk pengundi Johor itu ditulis pada Selasa kerana beliau berpendapat segelintir rakyat tidak berasakan PRN Johor akan memberi kesan kepada sesiapa yang memerintah negeri itu.
Tun Mahathir berkata, PRN telah dirancang oleh kumpulan kluster mahkamah dan kleptokrat Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) atas tujuan untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri-negeri sebagai langkah awal sebelum PRU-15.
"Perancangan mereka ialah apabila menang di PRU nanti, mereka akan dapat guna kedudukan untuk menyelesai kes-kes salah guna kuasa, pencurian wang dan harta rakyat.
"Ada pengundi yang berkata bahawa kumpulan kluster mahkamah dan kleptokrat tidak bertanding di dalam PRN Johor. Memang benar tetapi mereka yang bertanding atas tiket Umno dan Barisan Nasional (BN) akan memberi kekuatan kepada kluster itu.
"Rakyat Johor telah menolak calon-calon Umno dan BN di dalam PRU-14 pada tahun 2018 kerana mereka tidak mahu bertindak dan mendesak Datuk Seri Najib Razak untuk melepas jawatan dan sebaliknya terus mempertahankannya," katanya menerusi surat terbuka itu.
Oleh itu, Tun Mahathir menegaskan, penyertaan parti Pejuang pada PRN Johor adalah usaha untuk menyekat kleptokrat dan kluster mahkamah mencapai perancangan mereka.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan bahawa undi rakyat Johor akan menentukan parti mana yang akan menerajui Kerajaan Negeri Johor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram