SALAH satu mukjizat yang dimiliki oleh al-Quran adalah kekuatannya dalam menyentuh jiwa pembaca.
Al-Imam al-Khattabi berkata, hati orang yang beriman mampu diluluhkan dengan membaca al-Quran.
Ini selaras dengan firman ALLAH SWT:
“ALLAH telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.” — Surah al-Zumar: 23
Ahmad Sanusi Azmi menerusi dalam satu penulisannya berkata, ALLAH SWT bagaimanapun dalam al-Quran mengingatkan bahawa terdapat jiwa-jiwa yang keras yang enggan dan sukar mengingati ALLAH menyebabkan dosa dan keegoan mereka terhadap kebenaran.
Ahmad Sanusi berkata, golongan itu ditegur ALLAH SWT secara keras di dalam firmanNya: “Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah,” — Surah al-Zumar: 22
Ahmad Sanusi berkata, salah satu perkara yang menjadikan hati seseorang tidak terkesan dengan al-Quran adalah disebabkan mereka tidak bersungguh-sungguh mencermati ayat-ayat ALLAH SWT.
“Mereka tidak serius, bahkan mereka bermain-main saat ayat-ayat Allah dibacakan kepada mereka.
“Semoga ALLAH jadikan kita dalam kalangan mereka yang bersungguh dan bertafakkur apabila dibacakan kepada kita ayat-ayat al-Quran,” katanya yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).
Firman ALLAH SWT: “Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari Tuhan mereka lepas satu: satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka mempermain-mainkannya,” — Surah al-Anbiya: 2 — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram