Peruntukan RM10 juta bagi Program Peningkatan Pendapatan tahun ini


  • Primer
  • Ahad, 13 Feb 2022

MAHDZIR (dua dari kanan) ketika merasmikan Majlis Perasmian Taman Desa Pudina di Kubang Kenyeng, Kuala Nerang, Kedah pada Ahad. — Bernama

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi Program Peningkatan Pendapatan (PPP) pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, menerusi peruntukan itu, golongan sasar daripada Kumpulan B40 luar bandar diberikan bantuan peralatan dan latihan bagi membantu mereka menjalankan perniagaan seterusnya meningkatkan pendapatan.

"Program ini juga membantu usahawan kecil memiliki kios sendiri untuk menjalankan perniagaan mereka. Ini dilaksanakan menerusi Bantuan Warung Desa@KPLB di bawah PPP," ujarnya menerusi kenyataan dikeluarkan pada Ahad.

Tambah beliau, peserta PPP akan menerima bantuan peralatan dengan kos maksimum sehingga RM10,000 setiap seorang dan pada tahun lalu, seramai 564 orang mendapat manfaat program berkenaan.

Bagi bantuan PPP tahun ini, Mahdzir berkata, ia dilaksanakan menerusi agensi-agensi KPLB seluruh negara dengan sasaran 950 orang peserta.

"Ini termasuk pemberian bantuan WarungDesa@KPLB yang dianggar melibatkan 300 orang penerima dengan peruntukan RM2 juta," jelasnya.

Mengulas berhubung bantuan Warung Desa@KPLB di Kedah, Mahdzir berkata, bagi fasa pertama tahun ini, seramai 15 usahawan akan menerima bantuan itu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM75,000.

"Program bantuan Warung Desa@KPLB di Kedah dilaksanakan di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan pada tahun ini, program ini dilaksanakan di dua lokasi iaitu di Padang Terap dan Sungai Petani sebagai permulaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bantuan, B40, luar bandar, KPLB, KEDA, mahdzir khalid