SETELAH sekian lama berada di dalam industri muzik, penyanyi, Datuk Hattan akhirnya menyatakan persetujuan untuk berduet dengan artis nasyid.
Walaupun pernah tampil dengan single berunsurkan ketuhanan, Hattan sebenarnya tidak pernah berduet secara langsung dengan artis nasyid.
Akhirnya, Hattan terbuka untuk bekerjasama dengan artis nasyid disebabkan karya yang ditawarkan kepadanya.
Tampil dengan lagu baharu berjudul Istikharah bersama kumpulan nasyid, Mestica, Hattan berkata, dia menerima pelawaan itu memandangkan lagu tersebut sarat dengan semangat dan elemen perjuangan.
"Saya hormat dengan apa yang cuba dilakukan Mestica. Sebab itu saya sokong penuh lagu Istikharah.
"Daripada segi proses rakaman lagu pun berjalan dengan baik apabila dibantu pakar nasyid, Daqmie.
"Perkara itu memberikan saya semangat kerana saya tidak pernah membuat rakaman nasyid sebelum ini," katanya.
Menurut Hattan, dia juga berharap supaya lagu itu akan meletup dan berharap lagu itu didapat dijadikan panduan dan memberi kebaikan kepada pendengar.
Sementara itu, anggota kumpulan Mestica, Muhamad Razin Che Mud atau lebih dikenali sebagai Razin berkata, harapan mereka untuk lagu ini sangat tinggi apatah lagi berduet dengan Hattan.
"Tentunya satu penghormatan apabila Hattan bukan sahaja sudi berkolaborasi bersama dan akan memberi motivasi kepada kami untuk terus berkarya dalam industri muzik tempatan," katanya.
Dalam pada itu, bercerita mengenai lagu Istikharah, Razin berkata, istikharah adalah subjek yang jarang diangkat dalam nasyid atau genre lain.
"Kadang-kadang mungkin ramai yang tidak tahu apa istikharah itu. Tapi, apabila ia dijadikan inti ataupun isi kepada sebuah lagu maka lebih mudah untuk diterjemahkan yang mana istikharah ini merujuk kepada solat yang dilaksanakan oleh seorang Muslim ketika berada dalam persimpangan untuk membuat keputusan," katanya.
Untuk rekod, selain Razin, Mestica yang ditubuhkan pada 2003 turut dianggotai oleh Mohd Khairulnizam Zainol (Khairul) dan Khalil Khusairi Tarmizi (Khalil).
Kali terakhir mereka tampil dalam industri seni adalah menerusi album Projek Palestin-Satu Misi Kemenangan yang merupakan projek bersama beberapa penyanyi nasyid lain pada 2013. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram