Teliti undang-undang sebelum wajibkan kanak-kanak suntik vaksin


  • Massa
  • Sabtu, 29 Jan 2022

SEORANG kanak-kanak lelaki menerima suntikan vaksin Covid-19 di Bandung, Jawa Barat, Indonesia, pada Disember lalu. — Agensi

KERAJAAN perlu meneliti semua aspek berkaitan undang-undang sebelum mewajibkan suntikan vaksin Covid-19 ke atas kanak-kanak, bagi mengelakkan sebarang keadaan tidak diingini pada masa hadapan.

Pakar kesihatan, Prof Madya Dr Malina Osman berkata, terdapat keperluan vaksinasi ke atas kanak-kanak disebabkan bilangan kemasukan ke hospital akibat Covid-19, yang membabitkan golongan itu meningkat pada masa ini.

"Pemberian vaksin membolehkan persekitaran lebih selamat untuk kanak-kanak kembali ke persekitaran sosial yang hampir normal seperti era pra pandemik," katanya kepada Majoriti.

MalinaOsman

DR MALINA berkata, ibu bapa perlu mengelak daripada mendapat nasihat individu bukan dari kalangan barisan hadapan berkaitan vaksin Covid-19.

Terdahulu, kerajaan tidak akan mengenakan sekatan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang tidak mendapat vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, golongan itu tidak akan disekat seperti golongan dewasa yang tidak divaksin kerana Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids), adalah tidak wajib.

Sebelum ini, pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun menerusi PICKids, akan bermula 3 Februari di Lembah Klang sebagai permulaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, vaksin mRNA iaitu Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (Pfizer-BioNTech) akan digunakan untuk PICKids, dengan penghantaran pertama vaksin dari Belgium akan tiba di negara ini pada Jumaat.

Dianggarkan empat juta kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun layak menerima vaksin berkenaan, katanya.

Mengulas lanjut, Dr Malina berkata, liputan vaksin perlu menyeluruh iaitu meliputi populasi kanak-kanak bagi mengelakkan ledakan kes Covid-19 dalam komuniti.

Tambahnya, vaksinasi juga membantu mengurangkan penularan kes dalam komuniti, seterusnya melindungi mereka yang berisiko.

"Ini kerana kanak-kanak terdedah kepada komplikasi Long Covid, yang mana angka yang terkesan agak ketara dalam golongan itu.

"Malah, ibu bapa juga perlu mendapatkan nasihat dari pakar-pakar perubatan kanak-kanak untuk mendapatkan nasihat lebih jelas mengenai keperluan vaksin, elakkan mendapat nasihat dari mereka yang bukan berada di barisan hadapan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

vaksin, Covid-19, Malina Osman, kanak-kanak