JABATAN Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) harus menunjukkan bukti bahawa aktiviti pembalakan yang dilakukan di negeri itu adalah 'pembalakan terpilih' (selective logging) seperti yang didakwa.
Pengguna Facebook, Fadhli Bin Ilias berkata, jika benar aktiviti pembalakan yang berlaku merupakan selective logging, pihak JPNK harus menunjukkan bukti yang kukuh supaya dapat mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai.
Menurutnya, dia ada membuat carian mengenai selective logging yang didakwa berlaku di negeri itu, namun tidak dapat menjumpai mana-mana sumber yang sahih.
"Saya kira inilah masa yang terbaik untuk pihak jabatan perhutanan memberi penerangan berkaitan. Kongsikan gambar-gambar dimana aktiviti ini telah dilaksanakan.
"Lagi best kalau dapat buat dokumentari. Sebagai contoh, boleh tunjuk bagaimana harimau berlari riang menangkap si kancil di kawasan 'selective logging' sebagaimana yang didakwa.
"Kalau sekadar berkongsi dokumen, artikel pengurusan hutan lestari atau hutan mampan dah tak berapa laku dah. Orang nak tengok 'action'," katanya dalam satu hantaran pada Jumaat.
Tambahnya, pihak berwajib tidak boleh mengelak daripada memberi maklum balas bagi menjawab kebimbangan orang ramai tentang aktiviti pembalakan yang dilakukan di negeri itu.
Katanya, masyarakat berhak tahu supaya tidak berasa skeptikal akan aktivit pembalakan terbabit.
"Saban tahun kita dihidangkan dengan gambar-gambar bukit digondol bertebaran di laman sosial. Namun macam tidak ada respon balas dari pihak berwajib, membiarkan masyarakat gusar dan bimbang tentang keselamatan alam mereka," ujarnya.
Baru-baru ini, tular satu kenyataan daripada Pengarah JPNK, Abdul Khalim Abu Samah yang menyatakan bahawa aktiviti pembalakan adalah bagus untuk populasi harimau.
Jelasnya, pembalakan yang berlaku akan menyebabkan banyak tumbuhan baharu tumbuh, menarik haiwan seperti kancil yang merupakan makanan harimau untuk datang ke kawasan tersebut.
Kenyataannya itu bagaimanapun mendapat kecaman orang ramai yang berikutan tragedi banjir yang kerap berlaku di negeri itu, selain gambar tular yang menunjukkan kawasan hutan 'botak' akibat aktiviti pembalakan yang berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram