SEKUMPULAN penari muda bernama, Nasty Rock Crew tidak menyangka tarian yang dirancang secara bersahaja berjaya mencipta fenomena di media sosial TikTok dengan satu cabaran menari.
Cabaran menari yang dilakukan mereka berjaya meraih ratusan respon positif daripada pengguna media sosial.
Menurut seorang daripada ahli Nasty Rock Crew, Muhammad Firdaus, tarian yang berlatar belakangkan lagu Keluarga Malaysia itu pada mulanya dilakukan atas dasar suka-suka sahaja.
Bagaimanapun, apabila tampil dengan langkah tarian, Firdaus merasakan lagu itu mampu memberi inspirasi kepada anak muda yang lain untuk sama-sama menyemarakkan semangat nasionalis.
"Selepas melihat sambutan baik yang diterima, saya dan ahli yang lain merasakan tarian ini patut diketengahkan. Oleh itu timbullah idea cabaran tarian ini.
"Malah orang ramai yang menyahut cabaran tarian ini juga berpeluang untuk menang hadiah hebat seperti iPhone dan wang tunai," kata Firdaus.
Bercerita mengenai latar belakang Nasty Rock Crew, menurut Firdaus, kumpulannya telah aktif sejak Oktober 2010.
Sepanjang penglibatan mereka dalam dunia tarian, Nasty Rock Crew telah meraih banyak kejayaan antaranya Juara Pertandingan Tarian anjuran Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2015.
"Bagi saya, aktiviti menari ini bukan sahaja satu hobi tapi juga menyihatkan. Kami kerap memuat naik video tarian di TikTok, dan ia menghiburkan pengikut kami," jelas Firdaus.
Tambah Firdaus, aktiviti street dance sering dikaitkan dengan aktiviti yang tidak sihat. Namun Firdaus sekerasnya menolak dakwaan itu kerana aktiviti ini lebih sihat dan bermoral daripada melepak tanpa hala tuju.
Atas respon yang hebat, cabaran tarian Keluarga Malaysia ini dilanjutkan tarikh akhir penyertaannya sehingga 7 Februari depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram