WARGA kota yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing sempena perayaan Tahun Baharu Cina dinasihat merancang perjalanan seperti disaran pihak pengendali lebuh raya.
Pihak PLUS Berhad menyarankan mereka yang mahu keluar dari Kuala Lumpur ke utara dan selatan dijangka bermula 28 Januari 2022 supaya bergerak sebelum 10 pagi terutama bagi mereka yang mahu pulang ke Perlis, Pulau Pinang dan Perak Utara.
"Jadual yang kami anjurkan ialah 28 Januari hingga 6 Februari 2022 (Isnin) iaitu sepanjang cuti Tahun Baharu Cina (CNY). Guna konsep yang paling jauh, gerak dahulu, jadi bagi yang mahu pulang ke negeri jaraknya lebih dekat seperti Johor, Melaka, Perak mereka boleh bergerak selepas makan tengah hari (1 tengah hari)," kata Ketua Kecemerlangan Operasi (PLUS), Mohd Yusof Aziz.
Mohd Yusof berkata, demikian ketika sesi temu bual melalui FB Live Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Kuala Lumpur pada Rabu.
Sementara bagi mereka yang mahu pulang semula ke Kuala Lumpur selepas cuti perayaan juga sama iaitu mereka yang akan melalui jarak paling jauh, dicadangkan bergerak sebelum 9 pagi, manakala yang lebih dekat boleh bergerak selepas tempoh itu.
Mohd Yusof berkata, terdapat beberapa jangkaan tarikh pengguna akan pulang semula ke Lembah Klang iaitu 1, 2 atau 3 Februari sehinggalah 6 Februari 2022.
Pengguna juga disaran mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui medium media sosial seperti Twitter dan Facebook yang akan memuat naik jadual perjalanan yang disarankan.
Sementara itu, Mohd Yusof berkata, PLUS bersiap siaga meletakkan pasukan khas di kawasan strategik di waktu puncak sebagai menghadapi sebarang situasi luar jangka.
"Kami jangkakan perayaan CNY ini akan disambut besar-besaran setelah tahun lalu, kita tidak dibenarkan pulang ke kampung kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19. Kami akan memberhentikan sementara semua projek yang sedang berjalan dan melibatkan penutupan jalan.
"Tidak akan ada jalan, lorong tol dan hentian Rehat dan Rawat (R&R) yang akan ditutup sepanjang tempoh percutian perayaan ini," katanya sambil memberitahu PLUS menjangka 1.6 juta kenderaan akan menggunakan laluan PLUS sepanjang cuti perayaan ini.
Bagi mereka yang ingin pulang ke pantai timur pula, Ketua Operasi dan Penyelenggaraan ANIH Berhad (ANIH), Ainul Hasri Shah Abu Hassan menasihatkan pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 yang ingin ke Pahang dan Terengganu supaya bergerak keluar dari Kuala Lumpur seawal 5 pagi.
"Ada dua tarikh yang kami jangka pengguna akan bergerak keluar dari Kuala Lumpur ke pantai timur iaitu pada 29 Jan iaitu bagi bangsa Cina yang meraikan CNY dan 31 Januari 2022, bagi bangsa yang lain yang mahu bercuti.
"Mereka yang mahu pulang ke Pahang dan Terengganu boleh bergerak seawal subuh, manakala bagi mereka yang mahu pulang ke Kelantan, mereka boleh mula bergerak bermula jam 11 pagi," katanya.
Beliau berkata, bagi masa pulang semula ke Kuala Lumpur pula, ANIH menjangkakan warga Kuala Lumpur selain bangsa Cina akan mula pulang pada 2 Februari 2022 manakala bagi bangsa Cina, mereka dijangka akan pulang bermula 6 Februari 2022.
Justeru katanya, bagi yang bergerak dari Pahang dan Terengganu mereka disaran bergerak pulang dari negeri masing-masing seawal subuh, manakala bagi negeri Kelantan, mereka boleh mula bergerak pada sebelah petang.
Masyarakat Cina di negara ini akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina pada 1 dan 2 Februari 2022 di samping cuti hujung minggu yang bermula Jumaat 28 Januari 2022. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram