WALAUPUN sudah 16 tahun berada di dalam industri seni, nama Fasha Sandha masih lagi menjadi pilihan pengarah dan penerbit drama mahupun filem tempatan.
Kehadiran pelakon baharu yang bersilih ganti dilihat seakan tidak mampu melawan aura yang dimiliki Fasha sebagai seorang pelakon.
Malah, ada yang mendakwa Fasha sebenarnya merupakan 'anak emas' sesetengah produksi drama kerana sering menjadi pilihan.
Menafikan perkara tersebut, menurut Fasha, apa yang ditaruhkannya dalam industri seni adalah disiplin dan komited dalam kerja.
"Tiada istilah anak emas pun sebenarnya kerana apa yang saya amalkan adalah disiplin diri dan komited terhadap kerja. Mungkin itu yang menjadi penyebab saya terus mendapat tawaran.
"Nak kata saya cantik pun sebenarnya ramai lagi yang jauh lebih muda dan bergetah. Tetapi itulah, rezeki tidak pernah salah alamat," katanya kepada Majoriti.
Menurut Fasha, disiplin dalam kerjaya sebagai pelakon adalah sesuatu yang sangat ditekankan sejak dahulu lagi.
Malah, dia juga sentiasa berpesan kepada artis baharu bahawa giliran jaga disiplin kerana itu yang menentukan kelangsungan seseorang pelakon.
"Kalau tak bagus tak mengapa, kita boleh gilap dan perbaiki kelemahan yang ada. Tetapi disiplin dan komited adalah sesuatu yang perlu dijaga sejak awal.
"Kalau dua perkara ini tiada, susah sebenarnya nak kekal dalam industri sebab ini yang menjadi kekuatan untuk kekal lama dalam industri seni," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram