KESAN banjir pada hujung tahun 2021 masih dirasakan sehingga sekarang apatah lagi masih ramai yang masih bergelut untuk memulakan semula kehidupan.
Banyak pihak yang tampil memberi bantuan baik daripada segi kewangan mahupun bantuan fizikal dan terbaharu, Yayasan Metamorphosis turut menjalankan Misi Jiwa Prihatin bagi membantu mangsa banjir.
Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Aliff Zain berkata, beliau dan pasukannya agak terlewat menghantar bantuan disebabkan menjalani tempoh kuarantin berikutan menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.
“Habis sahaja tempoh kuarantin, saya terus mempersiapkan pasukan untuk turun padang bagi menghulurkan bantuan.
“Dari segi dana, Yayasan Metamorphosis tidak kutip mana-mana sumbangan, ini hasil pendapatan perniagaan yang disalurkan kepada yayasan ini.
“Kami melawat bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin di Banting, Selangor, kemudiannya ke rumah penyanyi Ezad Lazim di Kota Warisan, Sepang.
“Seterusnya, kami menjengah bekas pemain bola sepak negara, Azman Adnan dan isterinya, As Feminin; penyanyi otai, Yantzen dan pemain bass kumpulan Damasutra, Amran di sekitar Hulu Langat," katanya.
Menurut Aliff, pihaknya juga berhajat untuk singgah ke rumah pelawak, Ebby Yus di Hulu Langat tetapi dimaklumkan yang pelawak itu berada di hospital.
Tidak hanya tertumpu kepada selebriti, Aliff yang juga usahawan dari Pulau Pinang berkata, secara kasar, pihaknya memperuntukkan antara RM500,000 hingga RM1 juta bantuan kepada semua individu yang memerlukan.
“Bukan hanya menyediakan sumbangan berbentuk wang ringgit, malah, pelbagai barangan elektrik seperti mesin basuh, peti ais dan katil. Ini termasuk juga keperluan asas seperti pinggang mangkuk, dapur dan sebagainya," katanya.
AS Feminin bersama suaminya, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan.
Semua barang elektrik rosak
"Saya tak boleh agak anggaran kerugian. Tetapi, apa yang boleh saya cakap kena bermula dari kosong semula. Bukan hanya semua barang elektrik rosak, malah, lantai pun pecah".
Itu yang diluahkan As Feminin yang turut menerima bantuan daripada Yayasan Metamorphosis.
Menurut As, apa yang terjadi sekarang ibarat dia seperti perlu membina rumah baharu semula termasuk pendawaian elektrik rumahnya.
"Memang saya amat terkesan, tetapi, saya nak ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sangat prihatin dan tidak berkira.
"Bila berlaku bencana ini, barulah saya nampak rakyat Malaysia sangat bersatu dan bermurah hati, tak kira apa bangsa dan agama. Saya memang respek masyarakat majmuk kita,” katanya.
Barangan sentimental yang disimpan semua hancur
Tidak pernah berdepan dengan situasi banjir, Ezad Lazim berkata, musibah itu adalah pengalaman yang pertama buatnya.
Menurut Ezad, banyak barangan koleksinya yang mempunyai nilai sentimental semuanya musnah kerana banjir.
"Saya simpan koleksi CD dan VCD original dari penyanyi yang saya minat. Saya kumpul dari zaman muda.
"Ini termasuklah koleksi gambar saya dengan bekas kumpulan dan alatan muzik seperti gitar. Ada antaranya saya simpan dan tidak pernah guna.
"Namun, agak sedih alatan muzik artifak arwah bapa tidak boleh diselamatkan," katanya.
Namun Ezad berkata, apa yang lebih penting adalah nyawa isteri dan anak-anaknya selamat sewaktu kejadian banjir itu berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram