Farisha, Alan D harap 'Baek' dapat diterima baik


  • Hiburan
  • Rabu, 12 Jan 2022

FARISHA (kiri) kagum dengan melodi yang dihasilkan dan pada masa sama mengakui lagu Baek bukan mudah untuk dinyanyikan.

BEKAS peserta Bigstage musim ketiga yang juga pendatang baharu, Farisha mempertaruhkan single terbaharu, Baek yang turut berkolaborasi dengan rapper Alan D.

Lagu ciptaan komposer Mingaling dan lirik oleh Amir Hasan ini adalah terbitan syarikat rakaman 17 Eleven Music yang dilancarkan secara rasmi pada 2 Januari 2022.

Menurut Farisha atau nama sebenar, Farisha Asmadi, 22, cabaran merakamkan lagu Baek adalah dia perlu menyesuaikan diri dengan genre pop.

"Bunyi lagu ini sangat urban dan lebih kepada penceritaan, walaupun, bunyi macam senang nak nyanyi, tapi saya berasakan ada cabaran dari segi vokal. Nak rakam dalam studio agak susah, kena ada stamina dan teknik vokal yang baik. Apatah lagi menyanyi secara langsung.

“Lagu ini mengisahkan seorang wanita yang inginkan kejujuran lelaki itu dan mencari lelaki yang setia. Apabila mereka sudah bersama, wanita ini minta lelaki itu menjaga dirnya dengan baik, setia dan gembira," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya lagi, proses penghasilan lagu tersebut bermula sejak awal 2021, di mana dia sudah ulang alik ke studio Mass Music untuk lebih kenal dengan komposer dan penulis lirik lagu Baek.

“Pertama kali mendengar demo lagu ini, saya sudah mula kagum dengan melodi dan gubahan lagu ini. Sudah tentu disebabkan genre juga. Jadi, saya sudah mula untuk mencuba dekatkan diri dengan genre pop yang ada bahagian rap.

“Saya juga tertarik dengan idea ‘feat’ (kolaborasi) bersama penyanyi rap. Sebab saya sangat berbesar hati untuk ada pengalaman bekerjasama dengan mana-mana penyanyi," ujarnya.

Mengenai genre lagu Baek itu, Farisha berkata dia kagum dengan melodi yang dihasilkan dan pada masa sama mengakui genre lagu Baek bukan mudah untuk dinyanyikan.

Farisha turut memberitahu, dalam menyanyi dia turut mengutamakan pandangan penyanyi senior dalam industri untuk mendengar muzik dan vokal yang berkualiti.

Katanya, dalam masa sama, pendengar juga menjadi keutamaan kerana mereka adalah penyokong kepada bakat yang dikongsi olehnya.

Sementara itu, Alan D mengakui senang bekerjasama dengan Farisha.

Menurutnya, sikap Farisha yang sentiasa positif dan berfikiran terbuka membuatkan lagu ini menjadi.

Katanya, dia amat gembira dengan tenaga dan aura yang Farisha bawa ketika rakaman lagu di studio dan video muzik.

“Bagi saya, lagu ini sebuah lagu yang orang ramai atau pendengar boleh kaitkan dengan kehidupan seharian.

"Selain itu saya dan Farisha mempunyai suara yang unik di mana lagu ini amat sesuai dengan suara dan ‘tone’ kami. Genre lagu ini kotemporari hip hop. Tambahan pula bahagian korus lagu ini menarik dan ‘catchy’ senang untuk pendengar menyanyi bersama,” jelasnya.

Dalam masa sama, Alan D berharap lagu Baek ini diterima baik peminat muzik tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Farisha, Alan D, single, kolaborasi, baek, pop, hip hop