Vape mampu sebabkan mati pucuk


  • Sihat
  • Isnin, 03 Jan 2022

PENYELIDIK mendakwa tahap tinggi nikotin dalam cecair vape boleh mengurangkan aliran darah ke zakar. — Reuters

INDIVIDU yang menghisap rokok elektronik atau vape mempunyai lebih dua kali ganda risiko untuk mendapat disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk, menurut satu kajian terbaharu yang dijalankan di Amerika Syarikat.

Kajian terhadap hampir 14,000 lelaki Amerika berusia 20 hingga 65 tahun itu mendapati mereka yang menggunakan vape mempunyai kebarangkalian untuk mengalami mati pucuk sebanyak 2.4 kali ganda berbanding mereka yang tidak menghisap vape.

Kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Preventive Medicine itu dijalankan oleh penyelidik dari Sekolah Perubatan Grossman Universiti New York dan Sekolah Perubatan Universiti John Hopkins.

Penulis kajian mempunyai teori bahawa tahap tinggi nikotin dalam cecair vape boleh mengurangkan aliran darah ke zakar, menyebabkan masalah mati pucuk, tetapi masih tidak dapat membuktikan kaitan antara kedua-dua perkara tersebut.

Penyelidikan itu adalah hasil tinjauan terhadap 13,711 lelaki berumur 20 tahun ke atas yang menjawab soalan mengenai masalah mati pucuk.

Saiz sampel tersebut kemudian dikurangkan kepada 11,207 peserta yang tidak mempunyai sejarah penyakit kardiovaskular.

Hampir separuh daripada peserta dalam tinjauan itu mengakui bahawa mereka merupakan bekas perokok, sementara 21 peratus adalah perokok manakala 14 peratus menggunakan produk tembakau lain.

Daripada keseluruhan 11,207 responden, 10.2 peratus dilaporkan mengalami mati pucuk.

"Analisis kami mengambil kira sejarah menghisap rokok peserta, termasuk mereka yang tidak pernah menghisap rokok pada mulanya.

“Jadi terdapat kemungkinan bahawa menghisap vape secara harian mungkin dikaitkan dengan risiko mati pucuk yang lebih tinggi tanpa mengira sejarah merokok,” kata ketua pengarang kajian itu, Dr Omar El Shahawyl.

Tambahnya, lebih banyak kajian diperlukan untuk mengetahui kesan vape terhadap kesihatan seksual lelaki. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram