Ibu sarat mengandung, positif Covid-19 berisiko pecah air ketuban awal


  • Sihat
  • Jumaat, 24 Dis 2021

RISIKO mendapat komplikasi teruk akibat Covid-19 boleh meningkat dalam kalangan wanita hamil terutama pada trimester ketiga. — Gambar hiasan

PADA Khamis, kecoh apabila pelakon Intan Ladyana yang hamil tujuh bulan dan disahkan positif Covid-19, terpaksa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan lanjut.

Sebelum dimasukkan ke hospital, Intan Ladyana, 39, mengalami gejala demam, jadi dengan kemasukannya ke wad membolehkan dia dipantau secara rapi oleh pasukan perubatan.

Insiden itu terus mengingatkan kita tentang kejadian yang menggemparkan negara selepas Allahyarhamah Siti Sarah Raisudin meninggal dunia akibat Covid-19 semasa hamil anak keempat.

Gejala demam dan kekurangan oksigen dalam kalangan pesakit wanita hamil yang dijangkiti Covid-19 boleh meningkatkan risiko untuk kelahiran pramatang, pecah air ketuban awal sebelum bersalin dan corak degupan jantung janin tidak normal.

Pakar Perubatan Keluarga di Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universti Sains Malaysia, Prof Dr Azidah Abdul Kadir berkata, banyak data menunjukkan risiko meningkat bagi kelahiran pra-matang dan pembedahan Caesarian.

Peningkatan risiko itu menurut beliau dilihat lebih tinggi dalam kalangan pesakit dengan sejarah penyakit yang teruk atau kritikal serta mempunyai masalah kesihatan lain.

"Namun, komplikasi ini boleh juga berlaku kepada mereka yang mempunyai gejala ringan.

"Walaupun kebanyakan wanita hamil tidak mempunyai gejala sekiranya dijangkiti Covid-19, namun apa yang ketara adalah risiko kepada kandungan itu sendiri," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, Azidah berkata, risiko untuk mendapat darah tinggi semasa hamil dipanggil pre eklamsia juga boleh meningkat dalam kalangan pesakit Covid-19 yang sedang mengandung.

"Satu lagi ialah sawan akibat darah tinggi semasa hamil yang dipanggil eklampsia," ujarnya.

Beliau berkata, risiko mendapat komplikasi teruk akibat Covid-19 boleh meningkat dalam kalangan wanita hamil terutama pada trimester ketiga.

"Risiko ini lebih tinggi kepada wanita berumur lebih 35 tahun, mempunyai hipertensi (darah tinggi), diabetes (kencing manis) atau obesiti (berat badan berlebihan)," katanya.

Tambah Azidah, komplikasi kepada ibu hamil hampir sama seperti dialami oleh golongan dewasa lain antaranya radang paru-paru, kesan pada jantung, kegagalan buah pinggang dan penyakit tromboembolik (masalah pembekuan darah).

"Selain itu mereka berisiko mengalami sakit kepala, sawan, lemah tubuh badan, kehilangan deria rasa dan bau serta strok selain masalah gastro usus dan hati di samping masalah mental seperti kemurungan, stres dan keresahan," jelasnya.

Sehubungan itu, Azidah mengalakkan wanita hamil mengambil vaksin Covid-19 kerana tubuh badan mereka akan membina antibodi terhadap virus itu.

"Berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan, vaksin Covid-19 boleh diberikan kepada wanita hamil di semua peringkat kehamilan dan disyorkan supaya diberikan antara 14 hingga 33 minggu tempoh kehamilan.

"Bagi mereka yang hamil melebihi 34 minggu, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan konsultasi doktor sebelum menjalani vaksinasi," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram