SEBUT sahaja nama Hafiz Suip, ramai yang pasti tertanya-tanya mengapa penyanyi tersebut menyepi dalam industri seni untuk jangka masa yang lama.
Sedangkan satu ketika dahulu, namanya cukup dikenali dengan karya yang menjadi tumpuan peminat antaranya Awan Nano, Kisah Cinta Kita, Ku Akui, Bahagiamu Deritaku dan banyak lagi.
Namun, baru-baru ini Hafiz kembali dengan lagu terbaharunya berjudul Takluk Cinta dan bapa kepada dua cahaya mata itu berkongsi satu perkara yang menarik.
Menurut Hafiz, dia mengakui sebenarnya agak sukar untuk bersaing dengan penyanyi baharu kini.
"Jujur saya katakan, sebenarnya tidak mudah untuk bersaing dengan penyanyi baharu yang sedia ada lebih lagi ketika ini zaman sosial media seperti Tik Tok dan lain lagi.
"Tapi Hafiz yakin dengan bakat yang ada ini, insyaALLAH dapat bersaing dengan mereka," katanya.
Bercerita mengenai karya baharunya, Hafiz berkata, lagu tersebut ditulis oleh Ikhwan Fatanna bersama Iqie Hugh dan lirik juga ditulis oleh mereka.
Jelasnya, sudah lama dia mencari karya baharu untuk dinyanyikan dan kebetulan, lagu yang diberikan memang kena dengan jiwa dan genrenya.
"Dah lama sebenarnya saya mencari lagu yang betul-betul kena dengan jiwa saya dan akhirnya jumpa juga.
"Bila dengar sahaja demo lagu tersebut, saya terus nyatakan persetujuan untuk menyanyi.
"Alhamdulillah, proses rakaman juga berjalan lancar dan tidak sesukar ketika di zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram