Cuba selamatkan lembu, warga emas di Tampin meninggal dunia


  • 112
  • Sabtu, 01 Jan 2022

MAYAT mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk tindakan lanjut. — Facebook

SEORANG warga emas meninggal dunia ketika mahu menyelamatkan lembu peliharaannya daripada banjir dalam kejadian di Taman Pinggiran Felda, Tampin pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, lelaki berusia 66 tahun itu dikatakan tergelincir semasa meredah air untuk ke kandang lembu tersebut pada jam 8 pagi.

"Semasa kejadian, air naik di kawasan tersebut dan isteri mangsa yang melihat kejadian sempat menarik mangsa ke kawasan lebih selamat.

"Mangsa tiba-tiba terkena serangan jantung dan beberapa minit kemudian meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah Anuwal, seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang berada berhampiran tempat kejadian cuba menyelamatkan mangsa, tetapi lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram