EKSKLUSIF

Predator seksual guna maklumat sulit peras ugut mangsa


  • 112
  • Selasa, 04 Jan 2022

PDRM menerima beberapa laporan dari individu yang mendakwa diri mereka diugut penjenayah seksual.

INDIVIDU yang mudah untuk berkongsi maklumat termasuk gambar atau video peribadi dengan “rakan” di media media sosial kini menjadi sasaran peras ugut predator seksual, kata polis.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner, Siti Kamsiah Hassan dalam satu wawancara ekslusif bersama Majoriti berkata, pihaknya menerima laporan daripada beberapa individu termasuk kes yang melibatkan kanak-kanak yang mendakwa gambar mereka dijadikan bahan ugutan.

"Kita ada menerima beberapa laporan yang dibuat individu yang mendakwa diugut menggunakan gambar mereka, untuk kanak-kanak, kes ini kita akan siasat bawah seksyen 15 (B) iaitu amang seksual non-fizikal.

"Mereka ini kadangkala merakam sesuatu walaupun secara suka sama suka pada mulanya, kemudian gambar atau video terbabit digunakan untuk mengugut mangsa supaya terus melakukan hubungan seksual atau untuk mendapat lebih bahan berunsur seksual atau lucah.

“Kalau orang dewasa pula, biasanya kes melibatkan hubungan seksual, maknanya kalau “awak tak nak saya sebarkan benda ni kena lakukan sesuatu timbal balas, seks la”. Untuk orang dewasa, kita siasat bawah ugutan jenayah,” jelasnya.

Majoriti sebelum ini melaporkan bahawa terdapat sebilangan pengguna media sosial yang sanggup “melayani” permintaan predator seksual untuk beraksi ghairah di depan kamera demi mendapatkan wang mudah tanpa mereka menyedari bahawa video perbualan itu dirakam.

Video rakaman tersebut kemudiannya disebarkan ke laman web lucah serta dikhuathiri turut digunakan untuk mengugut mangsa.

Menurut Siti Kamsiah, polis menerima laporan daripada beberapa individu termasuk kes yang melibatkan kanak-kanak yang mendakwa gambar mereka dijadikan bahan ugutan.

Sementara itu, menurut Siti Kamsiah, bahan peribadi termasuk gambar atau video peribadi ini kebiasaannya diperolehi daripada mangsa yang termakan kata-kata manis suspek yang dikenali di media sosial.

“Permulaan perkenalan biasanya melalui media sosial kemudian pergi kepada private chat selalunya Whatsapp.

"Kalau kanak-kanak, biasa dia ada elemen grooming. Suspek akan mesej biasa dulu, kemudian mula bercakap lucah, lepas tu dia akan beritahu yang dia menaruh hati pada kanak-kanak itu sehingga mangsa akhirnya berkongsi perkara-perkara sulit atau sanggup untuk beraksi tanpa pakaian.

"Malah ada yang sanggup mendedahkan bahagian tubuh badan dan alat sulit mereka,” katanya menambah bahawa kes-kes jenayah seksual melibatkan media sosial menunjukkan peningkatan apabila hanya 282 kes dicatatkan pada tahun 2017 berbanding 339 kes pada Januari hingga Julai tahun lepas.

Penjenayah seksual akan berpura-pura baik sehingga mangsa selesa untuk berkongsi perkara sulit termasuk gambar atau video lucah. (Gambar Hiasan)

Menurut Siti Kamsiah, ada juga kalangan predator seksual yang menggunakan bahan lucah yang diperolehi daripada mangsa untuk mendapatkan manfaat kewangan.

“Kita pernah ada satu kes melibatkan group Y2K. Pentadbir group tu akan iklankan siapa nak gambar atau video lucah kena bayar sekian-sekian, cumanya kami menghadapi kesukaran (untuk menahan pihak terbabit) sebab pentadbir itu di luar negara.

“Mereka ini menggunakan keldai akaun, atau bayaran melalui paypal,” katanya.

PDRM, SKMM tidak ada daya dan kuasa pantau media sosial

Menurut Siti Kamsiah, PDRM mahupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bukan sahaja tidak mempunyai kemampuan malah mereka juga tidak mempunyai punca kuasa yang membenarkan agensi-agensi ini memantau media sosial.

“Nak menangani jenayah macam ni tak boleh harapkan satu individu atau agensi saja. Macam PDRM, peranan kita adalah untuk menjalankan siasatan, menguatkuasakan undang-undang.

"Tapi tidak ada satu pun undang-undang yang mengatakan bahawa PDRM kena memantau (media sosial), jadi bagaimana kita nak dapat maklumat kalau orang awam tidak bantu.

“Kalau kita wujudkan undang-undang untuk beri kuasa kepada pihak berkuasa pantau internet sekali pun, kita tak akan boleh buat (kerana) macam mana nak pantau, ada berapa bilion laman web,” katanya.



Polis dan SKMM tidak mempunyai kuasa untuk memantau media sosial. (Gambar Hiasan)

Namun, katanya, pihak polis ada menjalankan kerjasama dengan pentadbir media sosial, badan bukan kerajaan serta National Center for Missing and Exploited Children (NCMEC), yang membantu menyalurkan maklumat pengguna yang menyalahguna media sosial.

“Pentadbir media sosial seperti Facebook, Google dan lain-lain akan menyalurkan maklumat sebagai contoh pemilik akaun sekian-sekian membuat hantaran lucah, jadi mereka akan beri butiran kepada NCMEC yang kemudiannya akan beri butiran tersebut kepada PDRM untuk kita siasat.

“Kiranya pentadbir media sosial yang akan melakukan tugas-tugas pemantauan,” katanya.

Selain itu katanya, pihak polis turut menghadapi masalah untuk mengenalpasti suspek yang berselindung di sebalik akaun palsu serta melaksanakan penyulitan data.

Tambahnya, usaha pihak polis mengesan penjenayah seksual di media sosial juga kadangkala terbantut disebabkan kesukaran untuk mendapatkan data daripada Pembekal Perkhidmatan Internet.

“Media sosial pasti akan melibatkan Internet, tapi kita tidak ada satu pun undang-undang yang membuatkan mandatori bagi pembekal perkhidmatan Internet untuk menyimpan data mengikut format yang seragam.

“Jadi kadangkala bila kita minta data katakan tahun lepas atau 10 tahun lepas, mereka mungkin tidak ada, jadi susah untuk kita nak jejak,” katanya.

Beliau juga mengakui bahawa kemajuan teknologi serta keupayaan anggota PDRM itu sendiri turut menjadi salah satu faktor kesukaran untuk menjejaki suspek di alam maya.

Justeru katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing untuk memantau di samping mendidik anak-anak mengenai penggunaan Internet dengan selamat.

“Ibu bapa kena didik dan pantau anak-anak bukan hanya pergerakan fizikal tapi kena pantau juga aktiviti mereka di alam maya. Kena bagi anak-anak faham sebab dan akibat sekatan atau peraturan yang ditetapkan oleh ibu bapa.

"Bukan hanya cakap guna tiga jam sahaja (telefon atau komputer), dia tak faham, dalam masa 30 minit dia boleh buat sesuatu yang membahayakan diri.

“Jadi kena ajar anak-anak tentang bahaya yang ada, kenal pasti risiko itu semua penting, mereka perlu diberitahu mengenai bahaya kalau kongsi gambar-gambar lucah, nanti akan dirakam kemudian orang akan guna untuk ugut mereka,” katanya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

predator seksual, polis, D11, media sosial