Bintang pop China, G.E.M pilih nyanyi semula lagu Faizal Tahir


  • Hiburan
  • Rabu, 29 Dis 2021

LAGU Faizal Tahir dipilih untuk dinyanyikan semula oleh G.E.M dan mendapat sambutan yang baik.

BAGI yang mengikut perkembangan industri muzik di China, G.E.M bukanlah nama asing malah mempunyai jutaan peminat.

G.E.M atau nama sebenarnya Gloria Tang Tsz-kei bukan sahaja dikenali di China dan Hong Kong, tetapi juga pernah digelar sebagai Taylor Swift China kerana kehebatan vokalnya dan kemampuannya mencipta lagu.

Terbaharu, penyanyi berusia 30 tahun ini memilih untuk menyanyikan semula lagu yang dicipta Faizal Tahir bersama Ja'a, Mage, Mike Chan, Tuju dan Yonnyboii berjudul X Missing You.

Lagu ini asalnya dinyanyikan oleh Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Tuju dan Yonnyboii dan diadaptasi oleh G.E.M menerusi judul I'll Be Missing You versi Mandarin.

Menariknya, lagu tersebut yang baru sahaja dilancarkan sudah berada di kedudukan ketiga dalam cara lagu baharu di China dan berada dalam senarai trending di YouTube Taiwan dan Hong Kong.

Sementara itu, Faizal Tahir mengakui tidak pernah menjangkakan sama sekali lagu ciptaannya diadaptasi dan dinyanyikan bintang antarabangsa.

"Alhamdulillah, karya saya dinyanyikan oleh penyanyi dari luar negara memang tidak pernah dijangka dan sudah pasti saya menyatakan persetujuan ketika ditawarkan.

"Lagipun saya rasa ini mampu membuka pintu dan ruang untuk pengkarya tempatan bekerjasama dengan artis luar sekaligus menaikkan nama komposer atau penerbit," katanya kepada Majoriti.

Ditanya mengenai keunikan lagu X Missing U sehingga dipilih oleh G.E.M, Faizal berkata, gabungan empat vokal yang membuatkan lagu itu menarik.

Jelasnya, di dalam lagu itu terdapat empat vokal yang mempunyai kekuatan dan karakter tersendiri.

"Saya berpendapat itulah yang menjadi penarik perhatian kepada lagu ini sehingga ada artis luar yang berminat untuk menyanyikannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penerbitan Faithful Publishing, Karim Karam berkata, adaptasi lagu X Missing You kepada I'll Be Missing You nyanyian G.E.M adalah satu pencapaian dan penghargaan buat pencipta lagu tanah air.

"Proses rundingan ini mengambil masa lima bulan. Apabila ia berhasil, perkara ini dilihat mampu meningkatkan nilai eksport lagu tempatan ke peringkat antarabangsa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

hiburan, faizal tahir, G.E.M, china, pop, taylor swift