JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Selasa mengeluarkan amaran hujan berterusan (Waspada) melibatkan lima negeri ekoran luruan monsun yang sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga Januari 2022.
Menurut jabatan itu, lima negeri dijangka bakal menghadapi cuaca tersebut adalah Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
"Pembentukan awan hujan aktif di Laut China Selatan dan Laut Sulu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Sabah sehingga 2 Januari 2022.
"Manakala di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor pada 30 Disember 2021 hingga 3 Januari 2022," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam satu kenyataan berasingan, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan di beberapa kawasan di Sabah seperti Tawau, Sandakan dan Kudat bermula Selasa hingga 2 Januari 2022.
Sementara itu, hujan lebat dijangka berlaku bermula 30 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 di seluruh negeri Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan seperti di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Manakala di Pahang, antara kawasan yang terlibat adalah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin selain Mersing, Johor.
MetMalaysia menasihati orang awam adalah supaya sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua platform media sosial untuk semakan lokasi yang berkaitan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram