KETIKA Figo Paroji bekerja di sebuah tapak pembinaan di Malaysia, setiap hujung tahun pasti membawa rasa gementar dalam dirinya.
Ujar Paroji, dia akan berkempen setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan buruh asing yang datang dari Indonesia secara haram dan memberi amaran kepada mereka supaya tidak melakukan perjalanan melalui lautan bermula November hingga Disember.
"Pada penghujung tahun, ombak lautan sering kali besar dan terlalu berisiko," kata Paroji yang bekerja di Selangor dari 2006 hingga 2019.
Paroji kini bertugas sebagai penyelaras Kesatuan Buruh Asing Indonesia di Indonesia namun kebanjiran buruh asing yang melakukan perjalanan secara haram tetap berlaku.
Pada 15 Disember lalu, sebuah bot membawa buruh asing Indonesia karam di pesisir Johor berikutan cuaca buruk.
Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, seramai 18 orang dilaporkan maut manakala sekurang-kurangnya 20 lagi masih hilang dan 14 ditemui selamat.
Jelas Paroji, rakyat Indonesia terus mempertaruhkan nyawa mereka menaiki bot yang kecil dan tidak selamat kerana desakan hidup.
"Faktor utama mereka bertindak sedemikian adalah kerana faktor ekonomi. Jumlah peluang pekerjaan di Indonesia tidak sama seperti di Malaysia.
"Kebanyakan perniagaan kecil akan mengupah sesiapa sahaja. Mereka tidak mempunyai kebenaran untuk menggaji pekerja asing tetapi mereka tidak kisah asalkan buruh itu murah," ujar Paroji.
Kadar pengangguran yang dicatatkan di Indonesia pada Ogos adalah 6.49 peratus.
Menurut Bank Dunia, kadar kemiskinan Indonesia berada di paras 10.4 peratus pada Mac 2021, meningkat berbanding 9.2 peratus pada September 2019.
Sementara itu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, dianggarkan terhadap 2.7 juta buruh Indonesia di Malaysia, meskipun angka yang sebenar sukar diperoleh berikutan hanya satu pertiga daripada jumlah tersebut dipercayai memiliki dokumen yang sah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram