Kilang petis udang kotor, tipu sijil halal di Balik Pulau diarah tutup


  • 112
  • Selasa, 28 Dis 2021

KOTORAN yang tidak dibersihkan ditemui ketika JKNPP melakukan pemeriksaan di sebuah kilang memproses petis udang di Kampung Pantai Acheh pada Selasa. — Bernama

SEBUAH kilang memproses petis udang di Kampung Pantai Acheh, Balik Pulau, diarah tutup kerana beroperasi dalam keadaan kotor dan berbau busuk, serta tidak mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam Ops Bersih pada Selasa, pemeriksaan pasukan kesihatan mendapati kilang yang beroperasi sejak lebih 50 tahun itu, turut menyimpan stok petis udang lama yang telah dipenuhi ulat renga di stor yang sama dengan produk baharu di situ.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP), Mohd Wazir Khalid berkata, pihaknya juga mendapati pemilik kilang itu menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedangkan syarikat tersebut tidak pernah memohon sijil berkenaan.

"Bau busuk dan meloyakan di stor penyimpanan petis udang kilang tersebut telah membongkar penemuan ulat renga di dalam tong penyimpanan petis udang di situ, malah ada antara produk berkenaan yang tarikh luputnya adalah pada 2024, namun pemeriksaan mendapati produk itu telah rosak serta berbau busuk, namun masih disimpan untuk dijual kepada pembekal mereka,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya mengarahkan logo halal Jakim itu ditanggalkan serta-merta serta premis yang mengeluarkan petis udang dipercayai untuk edaran ke seluruh negeri dengan menggunakan label pelbagai syarikat lain, ditutup selama 14 hari bagi tujuan pembersihan.

"Susulan serbuan itu, kami mengeluarkan dua notis kompaun berjumlah RM5,000 dan premis itu juga dikenakan arahan penutupan selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 untuk pemilik menjalankan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, kilang itu pernah diserbu pada 2019 kerana kesalahan yang sama dan diarahkan tutup serta dibersihkan, namun pemeriksaan kali ini mendapati keadaan kilang itu adalah lebih teruk berbanding sebelum ini.

Sementara itu, dalam serbuan kedua, beliau berkata, sebuah kilang pembuatan kicap di Jalan Batu Maung, Balik Pulau, turut diarahkan tutup selama 14 hari kerana beroperasi dalam keadaan yang tidak mematuhi standard kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan KKM.

"Kilang itu dikenakan dua kompaun berjumlah RM5,000 dan pemilik diarahkan menjalankan pembersihan serta kawalan serangga perosak dengan syarikat yang bertauliah," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram