Kelab 'koboi' bantu anak muda di PJ belajar tentang hidup


PROGRAM Pembinaan Komuniti Melalui Bola Sepak bertujuan untuk membolehkan pemain mengasah kemahiran bola sepak dan mengambil bahagian dalam aktiviti sihat yang boleh menjauhkan mereka daripada perkara yang tidak berfaedah. — Gambar SCFC

SEMBILAN tahun lalu, Francis J. Mascrinhos, presiden pasukan bola sepak Sunday Cowboys Football Club (SCFC), memulakan program holistik untuk memperkenalkan bola sepak kepada belia Kampung Medan di Petaling Jaya.

Bertemakan "Pembinaan Komuniti Melalui Bola Sepak", program ini bertujuan untuk membolehkan mereka mengasah kemahiran bola sepak dan mengambil bahagian dalam aktiviti sihat yang boleh menjauhkan mereka daripada perkara yang tidak berfaedah.

"Dengan sedikit pembiayaan daripada kerajaan negeri Selangor, kami berjaya meneruskan pembangunan banyak bakat yang bermain untuk kelab yang lebih besar," kata Mascrinhos dalam satu temu bual menerusi e-mel.

SCFC dibahagikan kepada dua pasukan – Skuad Liga Sosial (SLS) yang terdiri daripada 30 orang dewasa bekerja berusia antara 30 dan 45 dan Skuad Liga Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang dibarisi 30 pemain berusia sekitar 20 tahun.

Selain mengukir nama dalam Liga FAS, kelab itu pernah memenangi beberapa kejohanan dan secara konsisten menamatkan musim dengan baik di Liga FAS (Divisyen 1), dinaikkan pangkat ke Liga Perdana FAS dua tahun lalu.

“Kami berbangga kerana telah membangunkan para pemain SCFC, Muhammad Akmal Mohd Thahir dan Muhammad Syafiq Shaban Badrul Hisyam masing-masing sebagai jurulatih dan pengurus Skuad Liga FAS,” kongsi Mascrinhos.

Bagi Mascrinhos, 56, program itu adalah sebahagian daripada usahanya untuk mendekati dan membantu belia daripada kumpulan pendapatan B40.

“Tidak seperti kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan tinggi, mereka yang kurang bernasib baik tidak mampu membayar yuran akademi bola sepak. Oleh itu, adalah penting untuk menyediakan latihan kemahiran teknikal dan bola sepak yang sama kepada semua belia tanpa mengira latar belakang kewangan mereka,” kata Mascrinhos, yang merupakan jurulatih bertauliah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pasukan bimbingan SCFC terdiri daripada Mascrinhos sebagai jurulatih kanan serta ketua jurulatih, Ashley Shimon Pereira, yang mempunyai sijil kejurulatihan UEFA dan jurulatih Skuad Liga FAS, Muhammad Akmal, yang memegang sijil kejurulatihan FAM.

Pope (left), pictured with his nephew Logan Rio, is among many Malaysians who are finding ways of helping the youth living in areas with social problems. — Sunday Cowboys Foodball Club

Mascrinhos (kiri), bersama anak saudaranya, Logan Rio merupakan antara ramai rakyat Malaysia yang mencari jalan untuk membantu belia di kawasan yang mempunyai masalah sosial.

"Ahli Skuad Liga kami kebanyakannya merupakan lepasan sekolah yang segera diperkenalkan kepada tahap bola sepak kompetitif yang lebih tinggi, memberikan mereka platform yang sempurna untuk mempamer kemahiran mereka sambil belajar daripada pemain SLS yang lebih berpengalaman," kata Mascrinhos, yang turut mengendalikan sebuah rumah pengebumian di Petaling Jaya.

Sejak sembilan tahun lalu, Mascrinhos mendedikasikan malam Rabunya untuk melatih skuad tersebut. Dia juga sesekali memanggil para pemain untuk menyertai perlawanan persahabatan pada Ahad dan menyertai mereka untuk latihan kecergasan mingguan. Ia memerlukan banyak komitmen, tetapi Mascrinhos tahu perkara itu adalah untuk manfaat yang lebih besar.

“Matlamat saya adalah untuk menyemai dalam kalangan belia ciri-ciri penting bekerja secara berpasukan, disiplin, dedikasi dan kepentingan berorientasikan matlamat secara nyata.

“Ini adalah nilai asas dalam pembinaan sahsiah yang akan memberi manfaat kepada mereka bukan sahaja dalam bola sepak tetapi juga dalam menghadapi kehidupan.

“Falsafah yang selalu saya tekankan kepada para pemain adalah, dalam bola sepak, seperti juga kehidupan, anda akan mencapai kemenangan dan juga akan mengalami kekalahan. Apa yang benar-benar penting dan menentukan sama ada anda berjaya atau tidak ialah cara anda bermain,” katanya.

Semangat kemasyarakatan juga terserlah dalam kalangan pasukan.

“Kami bercakap dalam Bahasa Melayu antara satu sama lain dan yang paling penting, kami berkomunikasi dengan mudah melalui bahasa universal bola sepak. Ramai ahli komuniti dari kawasan berkenaan memainkan peranan penting dalam membangunkan dan memanfaatkan kemahiran pemain.

“Hakikat bahawa Skuad Liga FAS SCFC masih dibarisi oleh hampir 90 peratus pemain dari Taman Medan selepas hampir 10 tahun, menunjukkan sokongan luar biasa oleh penduduk tempatan.

“Tetapi saya sedar pemain saya masih belum bersedia untuk bermain pada tahap yang lebih kompetitif. (Lagipun, mereka) sangat muda dan tidak berpengalaman dan harus berdepan pemain yang lebih matang dan berpengalaman,” kata Mascrinhos.

Terdapat yuran bulanan yang dikenakan kepada setiap pemain kecuali Skuad Liga FAS. Kelab ini berdiri dengan dana yang ditaja oleh Mascrinhos dan timbalan presidennya, Ram Pratap, langganan keahlian bulanan dan penjualan peralatan bola sepak.

Mascrinhos gembira dia boleh menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

“Saya menjalani impian zaman kanak-kanak saya. Kami telah berkembang daripada hanya sebuah pasukan sosial pemain bola sepak hujung minggu kepada sebuah kelab bola sepak yang boleh dipercayai. Saya suka berfikir bahawa kita telah membuat perubahan dengan membentuk keyakinan dan pandangan hidup mereka. Tiada apa-apa, tiada trofi, kejohanan mahupun kejuaraan liga, yang lebih bermakna kepada saya secara peribadi berbanding semua itu,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram