KETIKA banyak pihak mahu ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berundur daripada posisinya atas persembahan buruk skuad negara di kejohanan Piala AFF Suzuki 2020, masih ada yang berpendapat beliau wajar diberi peluang kedua.
Pemerhati sukan, T. Avineshwaran menerusi satu bebenang di Twitter pada Ahad berpendapat, menukar jurulatih tidak akan mengubah ekosistem bola sepak negara yang memiliki kerenah birokrasi tersendiri.
TANGKAP layar bebenang ciapan T. Avineshwaran. — Twitter
"Okay, pecat jurulatih? Baik, jadi siapa calon yang layak dan bersesuaian? Jika dia (calon) datang, adakah terdapat jaminan beliau boleh menyuarakan hal-hal berkaitan skuad kebangsaan?
"Sebelum ini, saya pernah cakap Cheng Hoe membolehkan apa sahaja yang berlaku sekarang kerana mentaliti 'tabik orang atas' sudah sebati dengan budaya kita.
"Ada rasa gentar kalau kita membelakangkan arahan pihak atas. Secara terang-terangan, situasi bootlicking nampaknya ada di mana-mana," ciapnya.
TANGKAP layar bebenang ciapan T. Avineshwaran. — Twitter
T. Avineshwaran yang juga wartawan sukan The Star berkata, kekalahan Harimau Malaya tidak sepatutnya diletakkan di bahu Cheng Hoe semata-mata.
"Bagaimana dengan pihak atasan? Pengurus, persatuan dan pemegang taruh juga harus mengambil tanggungjawab masing-masing atas kekalahan pasukan negara.
"Cheng Hoe masih bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui kontrak sebelum ini. Jadi apabila ada nama-nama lain disebut mengganti beliau, saya secara peribadi merasakan semua ini mengarut.
"Bahkan saya sendiri bertanyakan Cheng Hoe berhubung perkara dan dia enggan mengulas lanjut hingga mesyuarat mengenainya selesai," katanya.
TANGKAP layar bebenang ciapan T. Avineshwaran. — Twitter
Sementara itu, T. Avineshwaran turut memberikan senario dihadapi oleh Cheng Hoe yang menurutnya 'dikawal' oleh pihak-pihak tertentu dalam melaksanakan tugas sebagai pengendali skuad kebangsaan.
"Bayangkan anda diminta berlumba dengan Lamborghini, namun tidak berpeluang memegang stereng. Ada orang mengubah tetapan kereta, jadi bagaimana anda mahu memandu kenderaan tersebut?" persoalnya.
Tambah T. Avineshwaran, jika Cheng Hoe diberi kuasa penuh terhadap pasukan khususnya dalam pemilihan pemain dan merangka perlawanan persahabatan, dia boleh melakukan sesuatu.
"Apa yang Indonesia, Thailand dan Vietnam lakukan, dia (Cheng Hoe) mampu melakukannya. Tolong jangan lupa apa yang dia buat kepada Kedah sebelum ini," ciapnya lagi.
TANGKAP layar bebenang ciapan T. Avineshwaran. — Twitter
T. Avineshwaran turut berpendapat sebagai jurulatih kebangsaan, Cheng Hoe sepatutnya perlu berani bersuara susulan nasib Harimau Malaysia pada Piala AFF Suzuki baru-baru ini.
"Katakanlah dia memerlukan persiapan rapi, mintalah. Secara taktikal, dia perlu bersikap lancar dan menuntut perkara itu daripada para pemain.
"Jika perlu mendedahkan sesuatu kepada umum, ketahuilah bahawa orang ramai akan berada di belakang anda. (Sebahagian besar) rakyat Malaysia adalah individu yang vokal. Lihat sahaja situasi banjir (di mana berani mengkritik autoriti)," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram